PETALING JAYA: Agensi kredit skor perlu ditubuhkan bagi mengawal selia kelayakan pengguna untuk membuat pinjaman wang.
Sim Tze Zin (PH-Bayan Baru) berkata penubuhan agensi tersebut mengurangkan tekanan kewangan pengguna sekali gus mengurangkan peminjaman wang daripada peminjam wang tidak berlesen atau sindiket along.
“Ramai rakyat tidak faham tentang kredit skor dan mengetahui kredit skor diri sendiri.
“Oleh itu, kepercayaan kredit atau kredit skor yang telus dapat menentukan disiplin peminjam yang baik serta ditawarkan fasiliti kewangan yang lain seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan lain-lain,” katanya ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rodiyah Sapiee (PH-Batang Sadong) mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah pusat data khas Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) bagi memastikan keberkesanan instrumen mikro itu terpelihara.
“Semua maklumat berkaitan BNPL dikumpulkan dalam satu pusat data khas yang tidak digabungkan atau dilaporkan dalam sistem kredit konvensional seperti Sistem Maklumat Rujukan Pusat (CCRIS).
“Ia kerana CCRIS dikaitkan langsung dengan kelayakan pinjaman yang besar seperti pinjaman perumahan dan kenderaan, dan jika BNPL dimasukkan ke dalam sistem ini, ia boleh menjejaskan peluang pengguna berpendapatan rendah untuk mendapatkan pembiayaan masa hadapan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut berkata pusat data khas ini dapat diwujudkan di bawah Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi membolehkan pemantauan risiko kredit BNPL secara khusus termasuk had pendedahan pengguna dan kelakuan pembayaran tanpa menganggu rekod kewangan utama. –UTUSAN










