Trump dijemput melawat China - Marco Rubio

Trump dijemput melawat China – Marco Rubio

MARCO RUBIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertemuan antara dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China perlu diadakan secara berkala bagi membina kerjasama yang kukuh dan hubungan yang lebih stabil dalam jangka masa panjang.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyifatkan pertemuan itu sebagai positif, malah bukan sekadar pertemuan biasa sebaliknya satu usaha ke arah rundingan yang lebih menyeluruh.

“Penting untuk AS dan China terus mengadakan pertemuan yang produktif serta komunikasi secara berkala. Kami rasa pertemuan ini sangat membina.

“Diharapkan, kita boleh terus membina hubungan yang stabil antara kedua-dua negara. Keadaan ini semestinya memberi manfaat kepada seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Rubio akan bertemu rakan sejawatnya dari China, Wang Yi, hari ini di sela-sela mesyuarat ASEAN di Malaysia, ketika isu tarif perdagangan dikenakan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump menjadi tumpuan utama.

Pada masa yang sama, Rubio turut memaklumkan bahawa Presiden AS, Donald Trump telah dijemput untuk mengadakan lawatan rasmi ke China.

“Beliau memang berhasrat untuk melakukan lawatan tersebut. Jadi, kami sedang mencari tarikh yang sesuai dan saya yakin ia akan berlaku kerana kedua-dua pemimpin mahu ia direalisasikan,” katanya.

Semalam, Wang Yi menegaskan pihaknya menentang sebarang tarif tidak munasabah yang dikenakan oleh AS.

Dalam perkembangan berkaitan, Rubio turut mengulas pertemuannya bersama Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov namun tidak dinyatakan secara terperinci butiran perbincangan tersebut.

“Saya tidak akan berkongsi secara terperinci tetapi perbincangan itu berkait rapat dengan apa yang telah kami bincangkan semalam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN