KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Siasatan Diraja perlu ditubuhkan bagi menjalankan penyiasatan lebih menyeluruh mengenai insiden paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Menurut Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri, pihaknya merasakan dapatan laporan yang dikemukakan kurang holistik dan hanya memberi tumpuan kepada punca langsung.
Malah katanya, ia turut tidak memberi penumpuan kepada isu-isu seperti punca sebenar dan paling asas.
“Dapatan sedemikian telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan dan menimbulkan keresahan dan ketidakpuasan hati yang jelas terserlah daripada keluhan dan kritikan rakyat sejurus laporan tersebut diumumkan.
“Pas Selangor menuntut Kerajaan Negeri Selangor untuk bersikap telus sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada jawatankuasa penyiasat dalaman sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, tiada sebarang elemen sabotaj atau ke cuaian yang menyebabkan letupan paip gas di Putra Heights, tiga bulan lalu.
Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari berkata, siasatan oleh pasukan teknikal mendapati, sejak saluran paip gas itu ditauliahkan pada 2000, telah berlaku mendapan tanah sebanyak 24.3 sentime ter (cm) dalam tempoh 25 tahun.
Beliau berkata, kesan mendapan tanah tersebut menyebabkan berlakunya pergerakan kepada paip gas sebanyak 15.9cm, dan ia dibuktikan dalam persampelan paip yang menunjukkan tanda-tanda tekanan dan fatigue dalam struktur paip.
Mengulas lanjut, Ab Halim turut berkata, pihaknya amat kesal kerana kegagalan Kerajaan Negeri dalam memulihkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan awam dan kebertanggungjawaban pihak berkuasa.
“Pas Selangor memandang serius kebimbangan terhadap kemungkinan kejadian seumpama ini berulang jika tiada langkah pencegahan tuntas diambil. Pas Selangor akan terus memperjuangkan hak rakyat untuk mengetahui kebenaran serta menuntut keadilan bagi semua yang terkesan,” ujarnya. – UTUSAN