BUKIT MERTAJAM : UMNO boleh merayu untuk mendapatkan ihsan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung hukuman penjara di bawah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rayuan tersebut dibuat selepas kewujudan Titah Adendum diakui sendiri oleh Peguam Negara.
Beliau berkata, ketika ini, beberapa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri juga sudah mengeluarkan kenyataan untuk memohon ihsan daripada Sultan Ibrahim supaya titah itu dilaksanakan.
“Kita tahu bahawa (soal) pengampunan ini adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Tetapi, kita telah mohon ihsan setelah empat ke lima hari yang lalu Peguam Negara mengatakan wujudnya (Titah) Adendum tersebut dan ia bukan lagi satu hearsay (dengar cakap)
“Jadi, dalam hal ini (Titah Adendum), kita boleh desak PM (Perdana Menteri) tetapi, dengan Agong (Sultan Ibrahim) kita merayu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Seberang Jaya hari ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd. Hilmi Elias dalam satu kenyataan berkata, segala perintah yang terkandung dalam titah berkenaan wajar dilaksanakan dengan kadar segera tanpa sebarang penangguhan. – UTUSAN










