Meskipun kalendar 2025 sudah padat dengan jadual persembahan artis sehingga ke penghujung tahun, namun ia sama sekali tidak merencatkan usaha penganjur untuk mencari ruang pentas bagi insan seni berkualiti dalam misi menarik minat penonton.
Meletakkan tanda aras serta kemampuan pengkarya yang dibawa, sudah pasti menjadi kunci utama kepada penganjur sebelum membuat keputusan. Oleh itu saringan serta pemilihan ketat merupakan asas utama dalam menjamin sambutan dan pulangan.
Terbaharu, kumpulan ska punk tersohor dari Indonesia, Tipe-X, sudah diikat dan bakal menggamatkan pentas Jiospace, Petaling Jaya pada 2 Ogos 2025 ini menerusi konsert eksklusif Skalut Party sempena sambutan 30 tahun penglibatan mereka dalam industri muzik serantau.
Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, konsert ini bakal menjanjikan satu malam penuh bertenaga dengan elemen ska, punk dan nostalgia, seiring dengan legasi panjang Tipe-X dalam dunia muzik rantau Asia .
Menurut Pengarah Urusannya, Talib Othman pemilihan Tipe-X dilihat bertepatan memandangkan genre ini cukup dekat dengan jiwa peminat di Malaysia yang rata-ratanya terbuka dalam meraikan kepelbagaian karya seni serta budaya muzik tempatan.
“Kami membawakan Skalut Party khusus buat peminat Tipe-X yang telah lama menantikan kehadiran mereka ke Malaysia. Ini merupakan satu pesta muzik yang meraikan semangat ska yang penuh warna-warni, tenaga dan kenangan.
“Selain itu juga kumpulan ini boleh diandaikan sebagai legenda yang masih mengekalkan keaslian muzik mereka sejak 30 tahun lalu,” ujarnya.
Ditubuhkan awal 90-an, Tipe-X dikenali sebagai pelopor genre ska punk di Indonesia dan negara jiran termasuk Malaysia. Mereka mula mencipta nama menerusi album sulung Ska Phobia (1999), diikuti beberapa karya mega seperti Mereka Tak Pernah Mengerti (2001), Super Surprise (2003) dan Seven (2012).
Antara lagu hits yang terus mendapat tempat di hati peminat termasuk, Genit, Salah, Mawar Hitam, Boyband, Pacar Yang Baik dan Selamat Jalan.
Tipe-X dianggotai oleh Tresno Riadi (vokal), Anto (bass), Billy (gitar), Arie Hardjo (dram), Micky (trombone), Yoss (saksofon) dan Andi (trompet).
Gabungan elemen ska, punk dan reggae dalam muzik mereka membentuk identiti tersendiri serta merentas generasi peminat sehingga ke hari ini.
Jiospace PJ dipilih sebagai lokasi konsert kerana kapasiti yang sesuai, infrastruktur moden serta kedudukannya yang strategik di tengah bandar. Manakala pihak penganjur turut menjanjikan produksi berteknologi tinggi dengan menampilakan sistem bunyi dan pencahayaan berkualiti bagi memastikan kelancaran persembahan serta memberi pengalaman dinamik kepada penonton yang hadir.
Menurut Talib lagi, poster rasmi konsert yang menampilkan reka bentuk klasik ska berlatarkan rona jingga terang, dihiasi simbol muzik dan dua trompet hitam, menggambarkan semangat serta tenaga unik yang bakal dibawa oleh Tipe-X.
“Kami ingin mencipta suasana yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mengembalikan semangat zaman kegemilangan muzik ska. Persembahan ini juga akan menyaksikan susunan muzik yang lebih besar, dengan sentuhan eksperimentasi bagi memperbaharui pengalaman penonton.
“Oleh itu saya menyeru kepada semua peminat Tipe-X, khususnya peminat muzik ska tanah air agar jangan lepaskan peluang menonton persembahan ini kerana ia bukan sahaja julung kali diadakan malah pasti meninggalkan momen indah dan bersejarah,” ujarnya.
Konsert ini pastinya menjadi medan istimewa buat peminat setia dan generasi baharu untuk menyaksikan sendiri kehebatan persembahan langsung Tipe-X, yang telah mewarnai landskap muzik ska punk di rantau ini sejak sekian lama.
Ironinya, persembahan ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi lebih kepada satu penghormatan kepada anak seni yang berjuang mengekalkan serta memartabatkan karya seni yang dibawa.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Tipe-X dan Rockstage Entertainment atau hubungi 012-2937976.