KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shila Amzah, mengakui bukan mudah untuknya tampil membuat persembahan selepas dakwaan diserang seorang penyanyi bertaraf legenda tanah air diperkatakan.
Menurut Shila atau Nurshahila Amir Amzah, dia mengumpul semangat untuk tetap membuat persembahan di Konsert Ulang Tahun Ke-20 Mr D.I.Y pada Jumaat.
“Tidak mudah untuk saya berada di atas pentas hari ini.
“Tapi saya berjaya melakukannya,” katanya ringkas ketika ditemui di Stadium Merdeka, hari ini.
Walaupun nama Shila Amzah menjadi perhatian sejak semalam, penyanyi Patah Seribu dilihat bertenaga menyanyikan tiga buah lagu iaitu Firework, Memori Tercipta dan Xiang Ni De Ye.
Selain Shila, antara artis lain yang turut membuat persembahan malam ini ialah Jaclyn Victor, Datuk Awie, Amy Search, 3P dan Jeryl Lee.
Sebelum ini, pada pagi Jumaat Shila turun mengadu mengalami sakit kepala yang teruk.
Bagaimanapun, Shila Amzah, belum boleh berkongsi kenyataan rasmi kepada pihak media berhubung dakwaan diserang seorang penyanyi bertaraf legenda tanah air, baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan pengurus kepada artis tersebut, Aini Shuhaidah dalam satu kenyataan di Instagram mengatakan mereka perlu mematuhi nasihat yang diberikan pihak polis. -UTUSAN