Jaecoo J5: SUV segmen B Premium

Jaecoo J5: SUV segmen B Premium, tapi harga masih mampu milik

Jaecoo J5 ditawarkan pada harga bermula RM108,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASARAN kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B di Malaysia memang antara yang paling kompetitif ketika ini. Malah, segmen ini menyumbang bahagian terbesar dalam pasaran SUV tempatan, didorong sambutan terhadap model seperti Proton X50, Honda HR-V dan Perodua Traz sentiasa jadi sebutan.

Kini, Jaecoo mahu masuk gelanggang sama menerusi Jaecoo J5, sebuah SUV segmen B yang cuba tampil dengan imej lebih premium, tetapi masih dengan harga yang boleh dianggap mesra poket untuk kelasnya.

Dilancarkan secara rasmi pada awal Mac lalu, Jaecoo J5 ditawarkan pada harga bermula RM108,000, dengan harga promosi pengenalan sekitar RM102,000. 

Jadi persoalannya, adakah ia sekadar nampak premium di atas kertas atau benar-benar ada isi? Berdasarkan pengalaman memandu selama sembilan hari sempena musim raya, inilah pandangan penuh tentang Jaecoo J5.

Untuk yang masih belum begitu kenal, Jaecoo ialah jenama SUV premium di bawah kumpulan Chery. Tahun lalu, Chery menyatukan OMODA dan Jaecoo di bawah satu payung jenama yang lebih tersusun.

Di Malaysia, Jaecoo kini sudah mempunyai tiga model utama iaitu J7, J8 dan J5, dengan J5 menjadi model paling baharu dan juga paling mudah diakses dari sudut harga.

Reka bentuk luar: Ada aura Evoque?

Perkara pertama yang akan orang perasan pada Jaecoo J5 ialah reka bentuknya. Tak boleh dinafikan, dari sudut visual, SUV ini memang ada sedikit aura Range Rover Evoque, terutama pada siluet sisi, rekaan lampu depan dan proporsi badan keseluruhan.

Di bahagian hadapan, lampu LED memberi karakter moden dan tajam, manakala gril depannya menggunakan konsep waterfall grille. Ini bukan kali pertama rekaan seperti ini digunakan oleh pengeluar China. Malah, konsep sama juga boleh dilihat pada model seperti GWM Wey G9 dan BYD Denza D9.

Sebab mengapa gril jenis ini semakin popular pun mudah difahami. Ia memberi penampilan yang lebih premium, lebih berprestij dan secara visual meningkatkan road presence sesebuah kenderaan. Untuk J5, pendekatan ini memang berjaya menjadikannya nampak lebih ‘mahal’ daripada harga sebenar.

Bahagian depan sekadar memberi bayangan, bahagian tepi pula lebih jelas memperlihatkan kenapa ramai terus mengaitkan J5 dengan Evoque. Rekaannya kemas, dengan garis badan yang ringkas tetapi masih nampak premium, manakala wheelbase 2,620 mm pula menjadikannya antara yang paling panjang dalam kalangan SUV segmen B.

Kelebihan wheelbase panjang ini bukan sekadar angka atas kertas. Dalam penggunaan sebenar, ia biasanya memberi dua kelebihan utama, iaitu ruang kabin yang lebih baik dan kestabilan yang lebih meyakinkan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.

Satu lagi perkara yang menarik ialah Jaecoo masih mengekalkan penggunaan door handle konvensional. Dalam keadaan ramai pengeluar China sekarang semakin ghairah menggunakan flush door handle atau pemegang pintu elektrik, pendekatan ini sebenarnya lebih praktikal untuk penggunaan jangka panjang. Ia mungkin tidak nampak terlalu futuristik, tetapi dari sudut penggunaan harian, ia lebih mesra pengguna dan kurang menyusahkan.

TAYAR dengan rim 18 inci.

Rim, tayar dan suspensi

Jaecoo J5 dipadankan dengan rim 18 inci, bersama tayar Chao Yang Aggressor. Nama tayar mungkin belum terkenal seperti jenama Jepun atau Eropah, tetapi spesifikasi keseluruhannya masih sesuai dengan karakter SUV urban.

Apa yang lebih menarik ialah penggunaan suspensi belakang jenis multi-link. Ini antara perkara yang memberi kelebihan kepada J5 kerana bukan semua pesaing dalam segmen ini hadir dengan konfigurasi yang sama.

Dalam dunia sebenar, suspensi multi-link biasanya membantu dari segi keselesaan tunggangan, kestabilan ketika mengambil selekoh dan rasa lebih matang ketika memandu jauh.

Perkara ini memang sedikit sebanyak boleh dirasai sepanjang tempoh pemanduan.

Bahagian belakang dan praktikaliti

Di bahagian belakang, sekali lagi pengaruh Evoque itu masih boleh dikesan, terutama pada bentuk spoiler, kedudukan nombor plat dan rekaan bahagian bawah bampar. Walaupun begitu, dari sudut praktikaliti, Jaecoo J5 sebenarnya agak meyakinkan.

Ruang kargo yang ditawarkan ialah sebanyak 480 liter dalam keadaan biasa dan boleh meningkat sehingga 1,248 liter apabila kerusi belakang dibaringkan, menjadikannya cukup praktikal untuk kegunaan harian atau perjalanan jauh.

Satu lagi perkara kecil tetapi penting, ia masih dilengkapi dengan tayar simpanan. Dalam keadaan ramai pengeluar kini mula menggantikannya dengan tyre repair kit, kehadiran tayar simpanan penuh ini memang sesuatu yang patut dihargai, terutama untuk perjalanan jauh atau balik kampung.

Prestasi Enjin: Cukup, Tapi Bukan Paling Laju

Di bawah bonet, Jaecoo J5 menggunakan enjin 1.5 liter turbocharged yang menghasilkan 108 kW (145 hp) dan 210 Nm tork.

Padanan transmisinya ialah CVT, dengan angka rasmi 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 10.2 saat dan penggunaan bahan api sekitar 6.4 liter untuk 100 km serta tangki bahan api 51 liter.

Kalau dilihat atas kertas semata-mata, angka ini memang tidak begitu menonjol dalam kelasnya.

Sebagai perbandingan Proton X50 adalah 178 hp / 290 Nm, manakala Honda HR-V V Turbo pula 181 hp / 240 Nm.

Jadi ya, kalau ukuran utama anda ialah kuasa dan pecutan, Jaecoo J5 bukanlah juara dalam segmen ini. Tapi dalam masa sama, J5 juga jelas tidak dibina dengan falsafah ‘paling laju’. Ia lebih kepada sebuah SUV yang cuba seimbangkan gaya, keselesaan dan kemudahan penggunaan harian.

RUANG kabin yang selesa.

Pengalaman memandu: CVT yang sangat lancar

Inilah bahagian yang sebenarnya paling penting, kerana apa yang nampak atas kertas dan apa yang dirasai atas jalan kadang-kadang memang dua cerita yang berbeza.

Sepanjang sembilan hari menggunakan Jaecoo J5, termasuk untuk perjalanan jauh sempena musim raya, perkara paling ketara ialah karakter pemanduannya yang sangat mudah dibawa. Transmisi CVT yang digunakan memang terasa sangat lancar. Ya, memang ramai peminat kereta suka mengkritik CVT kerana rasa pemanduannya yang dikatakan ‘rubbery’ atau kurang menyeronokkan, tetapi untuk kegunaan harian dan perjalanan bersama keluarga, kelancaran itu sebenarnya satu kelebihan yang besar.

Dalam penggunaan sebenar, pertukaran kuasa terasa cukup lancar, kereta juga rasa ringan untuk dipandu, sesuai digunakan sama ada dalam trafik bandar mahupun di lebuh raya dan paling penting, tidak meletihkan untuk perjalanan jauh.

Jaecoo J5 turut menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport, membolehkan pemandu memilih karakter pemanduan yang lebih sesuai mengikut situasi.

Namun jangan salah faham. Walaupun rupa luarannya ada sedikit aura SUV premium ala Eropah, Jaecoo J5 bukan SUV yang dibina untuk off-road. Ia hanyalah model pacuan roda depan (FWD), jadi karakter pemanduannya lebih tertumpu kepada penggunaan atas jalan biasa, bukannya untuk laluan lasak seperti SUV 4WD sebenar

Kabin dan teknologi: Antara tarikan terbesar J5

Masuk ke dalam, Jaecoo J5 mula menunjukkan kenapa ia cuba meletakkan dirinya sebagai SUV ‘premium’ dalam segmen ini.

Perkara pertama yang terus mencuri perhatian ialah skrin infotainmen 13.2 inci, yang datang dengan Apple CarPlay wireless dan Android Auto wireless.

Apa yang menarik, sambungan wayarles ini memang terasa lancar dan stabil dalam penggunaan sebenar. Itu satu benda yang kadang-kadang nampak remeh, tapi sangat penting untuk pemilik yang memang hari-hari bergantung pada navigasi, muzik dan aplikasi telefon.

Meter cluster pula menggunakan rekaan yang agak unik. Ia bukan jenis panel digital besar seperti biasa, sebaliknya lebih kecil dan ringkas, hampir seperti gaya ‘meter motosikal’, dengan saiz lapan inci. Untuk sesetengah orang, ini mungkin nampak pelik pada awalnya, tetapi lama-kelamaan ia sebenarnya agak mudah dibiasakan.

Kualiti kabin: Banyak ciri ‘sedap mata’

Dari segi kemasan dalaman, Jaecoo J5 memang cuba bermain pada persepsi premium.

Antara ciri yang menonjol adalah tempat duduk berbalut kulit dengan material dikatakan tahan calar serta ciri anti-bakteria sehingga 99 peratus.

Selain itu, kerusi depan siap dengan ventilated seat dan hadir dalaman dengan lampu ambient lighting.

Untuk sebuah SUV dalam lingkungan harga ini, ventilated seat sahaja pun sudah cukup untuk buat ramai pembeli pandang dua kali.

Satu lagi ciri yang memang menyerlah ialah panoramic roof bersaiz 1.45 meter persegi. Ini memang antara ciri yang secara automatik terus menaikkan rasa premium sesebuah kabin. Dari dalam, ia buat ruang terasa lebih luas, lebih lapang dan lebih mewah.

Ruang belakang: Luas, tapi ada satu kekurangan

Di tempat duduk belakang, ruang kaki dan ruang kepala memang boleh dikatakan memuaskan untuk SUV segmen B. Ini kelebihan yang datang bersama wheelbase yang lebih panjang tadi.

Namun, ada satu perkara yang agak mengecewakan iaitu air vent belakang cuma satu sahaja.

Mungkin nampak kecil, tetapi untuk penggunaan keluarga, terutama perjalanan jauh waktu cuaca panas atau balik kampung, ini memang boleh jadi perkara yang mengganggu. Bila bawa anak-anak atau beberapa penumpang belakang serentak, pengagihan aliran udara mungkin tidak sebaik yang diharapkan.

Keselamatan dan bantuan pemandu

Jaecoo J5 juga hadir dengan pakej keselamatan yang agak lengkap untuk kelasnya. Antaranya adalah ADAS Level 2+ dan enam beg udara

Ini bermakna J5 bukan sekadar cuba menang dari segi gaya dan kabin, tetapi juga mahu kelihatan kompetitif dari sudut teknologi keselamatan.

Jaecoo J5 Untuk Siapa?

Selepas beberapa hari bersama kereta ini, Jaecoo J5 nampak sangat jelas siapa sasaran pembelinya. Model ini lebih sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah SUV yang nampak premium, tetapi dalam masa sama tidak terlalu obses terhadap angka kuasa enjin semata-mata.

Ia lebih kena untuk pembeli yang mementingkan keselesaan, gaya, serta kabin yang moden dan lengkap, khususnya dalam kalangan pasangan muda, keluarga kecil atau golongan eksekutif muda dan pembeli M40 yang mahukan sebuah SUV dengan imej lebih eksklusif dan nampak lebih mahal daripada harga sebenar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×