LARUT: Hubungan sesama parti dalaman gabungan Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam keadaan baik dan tidak berlaku perpecahan seperti didakwa.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menolak dakwaan tersebut dan berharap semua tidak mendengar perkara-perkara yang boleh merosakkan gabungan pembangkang itu.
Malah jelasnya, beliau baru-baru ini pergi ke Singapura bersama Setiausaha Agung Pas, Presiden Gerakan dan wakil Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan ia dapat menunjukkan tiada masalah antara parti.
“Maknanya tiada pun masalah. Sebelum saya pergi, saya duduk bincang dengan Presiden saya (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Jadi apa masalahnya?
“Masalahnya adalah kerana orang tahu bila kita ini aman damai kita ini benar-benar bersatu dan kuat, jadi mereka takut dan gerun dengan kesepakatan kita” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Larut di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai desas desus rombakan yang dikatakan bakal berlaku dalam PN bagi memberi peluang lebih besar kepadanya.
Sementara itu, Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi PN menjelaskan beliau tidak mengetahui tentang dakwaan ibu pejabat PN di kawasan elit Solaris Dutamas, Kuala Lumpur ditutup sejak Mac.
Jelasnya, pengurusan itu terletak di bawah Setiausaha Agung PN yang kini disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Kita akan tunggu sehingga mesyuarat agung dan akan kita tanya apa yang sebenarnya. Mungkin hendak mencari tempat yang baharu. Saya kurang pasti. Tentang pejabat ini selalunya adalah di bawah tanggungjawab pengurusan Setiausaha Agung,” katanya. – UTUSAN