PUCHONG: Terjunan matahari terbit pertama bakal berlangsung di program Genting Highlands International Base Jump bertempat di Wyndham Grand Ion Majestic Hotel, Genting Highlands pada 17 hingga 19 Oktober ini.
Pengarah Eksekutif Hoverland Sdn. Bhd, Frank See berkata, aktiviti ini menghimpunkan lebih 50 penerjun profesional dari luar negara yang bakal membuat lompatan dari ketinggian 6,106 kaki dari aras laut.
“Ini adalah pertama kali program sebegini diadakan di hotel tersebut dan para penerjun bakal menikmati pemandangan matahari terbit ketika membuat terjunan.
“Saya yakin pemilihan lokasi tapak lompatan (base jump) kali ini sangat unik kerana kedudukan geografi yang tinggi dan akan menarik lebih ramai pelancong dan tetamu daripada luar negara,” katanya pada Sidang Media Genting Highlands International Base Jump 2025 di sini hari ini.
Setakat ini seramai 34 penerjun mengesahkan penyertaan antaranya Australia (9) Malaysia (8), Amerika Syarikat (7) Rusia (2) dan penyertaan daripada negara Kanada, Ireland, Jerman, Venezuela, Perancis, Brazil, Singapura, New Zealand masing-masing seorang penerjun.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Ababil Base Jump, Kapten (B) Abdul Aziz Ahmad berkata, persiapan keselamatan dilakukan secara rapi bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan berlaku kepada penerjun.
“Langkah keselamatan menyeluruh dirangka termasuk penempatan pasukan perubatan, ambulans, serta penglibatan rasmi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia , Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Penganjur turut menjalankan latihan percubaan pada 5 hingga 6 Julai lalu melibatkan lapan penerjun profesional. Taklimat keselamatan juga akan diadakan ketika hari kejadian,” katanya.
Salah seorang penerjun, Abdul Aziz berkata, lokasi terjunan kali ini sangat berbeza kerana buat pertama kali penerjun akan terjun di atas awan.
Katanya lagi, sebarang bahaya dan cabaran perlu diperhatikan dengan lebih teliti bagi mengelakkan risiko kemalangan.
“Pada ketinggian lebih 6,000 kaki itu, keadaan cuaca boleh berubah setiap 15 minit hingga setengah jam. Kadang-kadang cuaca cerah, kemudian tiba-tiba muncul awan gelap, dan kembali cerah semula. Jadi sebagai penerjun kami perlu berhati-hati.
“Pada ketinggian itu juga, dalam lingkungan sekurang-kurangnya 100 batu persegi, kawasan ini merupakan antara puncak tertinggi yang mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai dek pemerhatian tertinggi di Malaysia (Highest Altitude Observation Deck) pada 29 April lalu.
“Ini menjadikan lokasi tersebut sangat unik untuk kita lakukan terjunan dan akan menjadi tarikan utama pelancongan domestik dan antarabangsa, seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. – UTUSAN










