KEPALA BATAS: Dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) hanya perkara ‘biasa’.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Saifuddin sebenarnya cuba untuk bermain dengan sentimen atau persepsi kononnya mereka mampu berbuat demikian di Pahang.
“Itu (dakwaan Saifuddin) biasalah. Saya pun boleh buat kenyataan, kita (UMNO dan BN) akan rampas balik kerusi yang ada pada PN.
“Maksudnya tak ada apa-apa. Dia (Saifuddin) cuma nak mainkan sentimen atau persepsi sahaja.
“Tetapi, mereka (PN) sebenarnya tidak tahu bahawa keadaan kita di Pahang pun, kita sedang kerja kuat untuk merampas kembali kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PN,” katanya yang juga
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Saifuddin yang juga Pengerusi Bersatu Pahang mendakwa PN sudah merangka strategi untuk mempertahankan kerusinya daripada BN, malah, berhasrat menawan Pahang pada PRU akan datang.
“Rakyat sudah melihat kemungkinan besar PN menerajui Pahang,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu kepada sebuah portal berita, semalam.
Ketika ini, BN yang mentadbir Pahang mempunyai 17 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala rakan sekutu mereka iaitu Pakatan Harapan (PH) pula memiliki lapan kerusi. – UTUSAN










