PETALING JAYA: Sektor perbankan negara mungkin menyaksikan perubahan susulan desakan Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan tarif bersama Malaysia untuk liberalisasi sektor strategik negara.
Perkara tersebut boleh melibatkan cadangan untuk melonggarkan had pemilikan saham asing dalam institusi kewangan tempatan.
MBSB Investment Bank berkata, langkah liberalisasi ini dilihat berpotensi meningkatkan daya saing sektor dengan membawa masuk kepakaran global, teknologi lebih maju dan amalan pengurusan risiko yang lebih baik.
“Langkah liberalisasi ini juga dijangka menarik pelaburan modal lebih tinggi ke dalam sistem kewangan tempatan, selain memperbaiki kecekapan operasi serta mutu perkhidmatan industri perbankan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Malaysia kini menetapkan had pemilikan asing bagi bank perdagangan pada 30 peratus, manakala untuk bank pelaburan, bank Islam dan takaful, hadnya sehingga 70 peratus.
Sekatan ini, menurut MBSB, adalah antara yang paling ketat di rantau ini berbanding Singapura dengan had 40 peratus, Vietnam 49 peratus, Indonesia 40 peratus dengan syarat tambahan dan Thailand 25 peratus.
Bank-bank kecil seperti AMMB, MBSB dan Affin dilihat sebagai sasaran berpotensi untuk pemilikan asing kerana saiz mereka yang lebih kecil dan lebih mudah untuk diambil alih.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu turut memberi amaran bahawa liberalisasi yang berlebihan boleh membawa kepada rasionalisasi tenaga kerja secara besar-besaran kerana banyak proses perbankan kini telah didigitalkan.
“Sebarang pelonggaran perlu disertai dengan kawalan yang jelas kerana risiko terhadap pekerjaan dan kestabilan ekonomi tetap wujud,” jelasnya.
MBSB turut menjangkakan minat paling besar akan datang daripada pemain serantau seperti Singapura dan China memandangkan mereka mempunyai kepentingan strategik yang lebih mendalam di Malaysia.
“Pemain Barat seperti Citibank dan Standard Chartered pula dilihat kurang berminat kerana mereka sudah mengurangkan operasi di ASEAN akibat tahap persaingan yang tinggi,” tambah laporan itu.
Sektor perbankan secara keseluruhan kekal diberi penarafan ‘neutral’ kerana ia terus berdepan cabaran daripada pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pemulihan cukai GST dan pemansuhan subsidi bahan api.
Kerajaan, melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang diketuai Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, sebelum ini turut mengesahkan bahawa permintaan rasmi daripada AS untuk melonggarkan had pemilikan asing telah diterima sebagai sebahagian daripada rundingan tarif yang sedang berjalan. – UTUSAN










