Tarif: AS sedia teliti, pertimbang pandangan Malaysia

Tarif: AS sedia teliti, pertimbang pandangan Malaysia

ANWAR Ibrahim ketika pertemuannya dengan Marco Rubio di Parlimen. - GAMBAR PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menyatakan kesediaan untuk meneliti serta mempertimbangkan pandangan Malaysia berhubung isu tarif perdagangan yang dikenakan negara kuasa besar itu ke atas negara ini.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berkesempatan membangkitkan isu tarif itu semasa pertemuannya dengan Rubio, di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

 Menurut Perdana Menteri, tindakan Presiden AS, Donald Trump memperkenalkan tarif tersebut memberi kesan kepada Malaysia sebagai antara negara dagang utama di rantau Asia Tenggara.

 “Rubio memaklumkan bahawa surat pemakluman mengenai tarif itu adalah bersifat umum dan masih ada tempoh rundingan selama sebulan.

 “Beliau memahami kepentingan hubungan dagangan antara Malaysia dan AS dan menyatakan kesediaan untuk meneliti serta mempertimbangkan pandangan kita,” katanya selepas pertemuan itu.

 Anwar semalam memberitahu, rundingan tarif antara Malaysia dan AS masih diteruskan walaupun Trump telah mengumumkan tarif import 25 peratus ke atas Malaysia.

 Jelasnya, Malaysia telah menghantar pasukan untuk berunding dan menjelaskan pendirian bahawa Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan bahawa sebarang tarif unilateral akan memberi kesan negatif kepada ekonomi kedua-dua negara dan rantau ini.

 Trump menyemarakkan semula ketegangan perdagangan global apabila menghantar surat kepada 14 negara kebanyakannya di Asia, berhubung tarif import lebih tinggi yang akan mula dikuatkuasakan mulai 1 Ogos.

 Langkah itu dilihat sebagai usaha terbaharu beliau untuk memaksa rundingan semula perjanjian perdagangan yang didakwa berat sebelah, dengan Asia muncul sebagai sasaran utama dalam strategi tarif agresif pentadbiran Trump.

 Dalam pada itu, pada sesi pertemuan empat mata dengan pemimpin AS itu, Anwar turut membangkitkan isu keganasan di Gaza.

 Anwar menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya mendesak kekejaman terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.

 “Saya tekankan kepada beliau bahawa pembantaian dan kekejaman itu perlu dihentikan. Rubio pula menyatakan maklumat terakhir ialah terdapat usaha keras sedang dijalankan.

“Beliau yakin akan ada genjatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza,” jelas beliau.

 Tambah Anwar, isu keselamatan dan pendamaian turut disentuh dalam perbincangan itu termasuk pencerobohan dan gangguan, memandangkan ketidaktentuan global juga memberi kesan kepada rantau ini.

 “Perbincangan juga menyentuh soal ASEAN, di mana Amerika masih menganggap hubungan dengan Malaysia dan rantau ini penting. Mereka mahu meneruskan serta meningkatkan kerjasama dengan negara ASEAN,” katanya.

 Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia untuk mengekalkan hubungan baik serta berdagang dengan semua negara tanpa memilih mana-mana blok kuasa.

 “Amerika memang rakan dagang penting, tetapi pada masa sama kita juga akan terus memperkukuh hubungan dengan China, negara ASEAN lain dan negara luar lain. Ia penting demi kepentingan rakyat dan faedah kepada negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN