Tangguh atau laksana berperingkat penyelarasan SST, tarif elektrik - Guan Eng

Tangguh atau laksana berperingkat penyelarasan SST, tarif elektrik – Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan kementerian bertanggungjawab bagi menyuarakan suara rakyat khususnya membabitkan pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya mengharapkan perkara itu dapat ditangguhkan atau dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, penyesuaian tarif elektrik serta pengembangan pelaksanaan SST pada masa ini dilihat kurang sesuai ketika Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 25 peratus terhadap Malaysia.

“Kami berharap selepas pertemuan ini, pihak berkuasa akan memberikan maklum balas positif dengan mengambil kira kesulitan rakyat. 

“Jika SST boleh ditangguhkan, maka ia wajar ditangguhkan terlebih dahulu, selain mempertimbangkan untuk menangguhkan pelaksanaan SST ke atas perkhidmatan pembinaan dan pendapatan sewaan perniagaan. 

“Pada masa sama, pelarasan tarif elektrik juga boleh ditangguhkan atau dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan pengumuman kenaikan tarif asas elektrik di Semenanjung oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), harga saham beberapa syarikat tenaga solar telah meningkat kerana pelabur menjangkakan lebih ramai peniaga akan beralih menggunakan tenaga solar sebagai sumber elektrik mereka.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah membuat penyesuaian terhadap dasar e-Invois apabila mengumumkan bahawa semua sumbangan atau derma yang diterima oleh badan keagamaan tidak perlu mengeluarkan e-Invois.

“Jika dasar e-Invois boleh disesuaikan, maka SST dan tarif elektrik juga boleh dipertimbangkan untuk penyesuaian. Langkah-langkah ini bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga, malah pengguna juga terpaksa menanggung beban ekonomi yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN