TAPAH: Kejayaan kolaborasi antara Maahad Tahfiz al-Quran Al-Ahmad dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kassim membuktikan pertanian moden mampu menjana ekonomi setempat apabila berjaya mengusahakan penanaman tembikai emas premium sejak dua tahun lalu.
Projek di tanah seluas 0.60 hektar itu menggunakan kaedah fertigasi dan hidroponik, menghasilkan buah berkualiti tinggi setanding mempelam harumanis Perlis serta mampu menjadi sumber kewangan utama untuk operasi maahad dan penduduk kampung.
Pengasas maahad, Ahmad Firdaus Mohd. Mazlan Kushairi, 30, berkata sebanyak 2,500 pokok ditanam di tiga rumah hijau, dua daripadanya milik tahfiz dan satu milik JPKK.
“Hasil dapat dituai selepas 65 hingga 70 hari penanaman dan mampu menjana pendapatan mencecah empat angka setiap musim tuaian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tembikai emas tersebut dijual pada harga RM15 sekilogram berbanding pasaran RM50 sekilogram.
“Buah ini harum, manis, rangup dan mempunyai biji kecil. Kemanisannya mencapai 18 darjah Brix, setara dengan harumanis. Malah, ada pembeli dari Johor Bahru datang ke sini untuk mendapatkan buah ini,” katanya.
Pelanggan tetap, Mohammad Akhyar Yang Baharum, 33, berkata, tembikai emas Kampung Kassim itu memiliki rasa dan tekstur yang hampir sama dengan harumanis.
“Harganya mampu milik berbanding buahan lain,” katanya yang hadir bersama rakannya Muhammad Farhan Dzulkifli, 33, dari Kuala Lumpur.-UTUSAN










