Tanah jerlus Masjid India: Laporan penuh dibentang hujung tahun ini

Tanah jerlus Masjid India: Laporan penuh dibentang hujung tahun ini

Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan penuh mengenai kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India akan dibentangkan ke jemaah menteri selewat-lewatnya hujung tahun ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya baru sahaja menerima laporan tersebut dan akan meneliti terlebih dahulu sebelum dibawa ke kabinet.  

“Saya sebenarnya baru menerima laporan penuh dan kita sedang teliti lagi perkara-perkara yang melibatkan khususnya kenapa lubang jelus itu berlaku dan insyaAllah selepas itu saya akan bentangkan di kabinet.

“(Jangakaan) saya harap sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025, di Sekolah Kebangsaan Sri Bintang Utara, di sini, hari ini. 

Pada Ogos tahun lalu, seorang mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.

Dalam perkembangan lain, Zaliha menolak gesaan sesetengah pihak yang meminta pembinaan Kota Madani dihentikan. 

Jelasnya lagi pembinaan tersebut adalah untuk keselesaan penjawat awam yang 60 peratus daripadanya menetap di Putrajaya. 

“Kota Madani ini adalah satu keperluan. Seperti yang saya sebut dalam ucapan saya juga, bahawa mereka yang menunggu, terutamanya penjawat awam ini, ramai sehingga 17,000 orang.

“Maka unit yang kita bina nanti untuk dalam Kota Madani, lebih kurang 10,000 orang, ia akan membantulah sedikit sebanyak untuk menyelesaikan masalah rumah ataupun kuartusyang diperlukan oleh penjawat awam. 

“Jadi saya tak setuju jika dinyatakan bahawa ia harus dilewatkan pembinaan,” katanya.  

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden  menggesa Putrajaya supaya menghentikan cadangan pembinaan Kota Madani ketika hutang negara disifatkan semakin melebar dan ekonomi rakyat kian menghimpit.

Jelasnya, pembinaan Kota Madani bernilai sekitar RM4 bilion, sedangkan rakyat sedang dihimpit dengan tekanan kos sara hidup, kenaikan cukai, pemotongan subsidi dan ketidaktentuan ekonomi global.

Mengulas lanjut mengenai senarai menunggu permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terlalu panjang, Zaliha turut berkata, pihaknya kini dalam proses pemutihan bagi menyaring kembali supaya ia benar-benar diberikan kepada mereka yang layak. 

“Kita kena melihat kepada prioriti dan mereka yang betul-betul layak, sebab ada juga di antara mereka contohnya kita dapat laporan mereka yang tinggal di PPR itu bukan daripada mereka yang asalnya meminta tapi kemudian disewakan atas orang lain. 

“Jadi itu kita akan ambil tindakan, ada juga tunggakannya banyak. Jadi kita juga akan ambil tindakan ke atas mereka-mereka yang kita dapati menyewakan unit itu kepada orang lain,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN