'Tambah baik SOP dalam laksanakan operasi penguatkuasaan'

‘Tambah baik SOP dalam laksanakan operasi penguatkuasaan’

PROSEDUR operasi standard (SOP) dalam setiap operasi penguatkuasaan perlu ditambah baik bagi memastikan ia tidak menimbulkan sebarang ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam.-GAMBAR/OP METAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tambah baik prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan sebarang operasi penguatkuasaan agar ia tidak menimbulkan sebarang ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam.

Itu gesaan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi NGO terbabit, L. Francis berkata, gesaan tersebut dibuat susulan serbuan besar-besaran oleh agensi berkenaan di beberapa premis yang disyaki terlibat dalam penyeludupan besi buruk di lima negeri termasuk Pulau Pinang, Isnin lalu.

Beliau berkata, gara-gara serbuan itu juga, ada dalam kalangan pekerja berada dalam keadaan trauma walaupun tidak terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah.

“Dalam hal ini, kita akui bahawa terdapat kepentingan untuk membanteras jenayah ekonomi dan menyokong tindakan tegas terhadap sindiket haram yang berleluasa.

“Namun, pelaksanaan setiap operasi itu perlu mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan mereka yang tidak bersalah juga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar serta rakaman video mengenai serbuan berkenaan di media sosial sehingga ada yang mengundang kecaman daripada warganet.

Mengulas lanjut, Francis berkata, insiden itu bukan sahaja menimbulkan kegusaran kepada pekerja terbabit, malah, ia turut menyebabkan kanak-kanak serta ahli keluarga mereka yang berada di lokasi mengalami ketakutan dan tekanan emosi.

Justeru, beliau berpendapat, pendekatan lebih profesional dan berhemah diperlukan agar sebarang tindakan penguatkuasaan tidak disalah tafsir sebagai pencabulan hak atau intimidasi terhadap orang awam yang tidak bersalah.

“Dalam hal ini, kami percaya bahawa SPRM sebagai sebuah agensi yang berwibawa sentiasa terbuka untuk menerima maklum balas daripada masyarakat dan akan menilai semula pelaksanaan operasi bagi memastikan keseimbangan antara tindakan tegas serta perlindungan hak awam dapat dicapai,” katanya.

Media termasuk Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, serbuan menerusi Op Metal itu dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam serbuan terbabit, pelbagai aset yang dianggarkan bernilai lebih RM183 juta disita manakala 45 akaun syarikat serta 82 akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM51 juta turut dibekukan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN