PETALING JAYA: Syarikat e-hailing Aist Malaysia Sdn. Bhd. (MAXIM) dan ID Applications Sdn. bhd. (INDRIVE) sudah dibenarkan untuk meneruskan operasinya namun perlu menjalani tempoh pemantauan selama tiga bulan mulai esok.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam satu kenyataan berkata, walaupun dibenarkan beroperasi namun tindakan tegas mengikut Seksyen 12A (5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] boleh dikenakan sekiranya mereka didapati gagal mematuhi mana-mana syarat perkhidmatan ditetapkan.
Katanya, bagi memastikan komitmen kedua-dua syarikat pengendali ini berterusan, wakil syarikat dikehendaki hadir ke lbu Pejabat APAD setiap bulan sepanjang tempoh
pemantauan.
“Bilangan kehadiran bulanan adalah tertakluk kepada keperluan APAD berdasarkan tahap pemantauan dan isu semasa.
“Sesi ini bertujuan untuk membolehkan APAD melaksanakan pemantauan secara ‘real-time’, di mana semakan rawak terhadap pemandu dilakukan melalui aplikasi InDrive dan MAXIM,” katanya hari ini.
Pada 24 April lalu, APAD mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) kepada MAXIM dan INDRIVE yang berkuatkuasa esok.
Tindakan tersebut adalah susulan audit terhadap pemain-pemain utama pengendali
e-hailing (EHO) yang mana didapati ketidakpatuhan oleh MAXIM dan INDRIVE, terutamanya dalam aspek keperluan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).
Menurut kenyataan itu, susulan tindakan tersebut, kedua-dua syarikat berkenaan membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan.
“Kedua-dua EHO telah disyaratkan untuk mengambil tindakan pembetulan sebelum 24 Julai bagi kelangsungan perkhidmatan masing-masing.
“Bagi memenuhi syarat ini, MAXIM dan INDRIVE telah menambah baik sistem pendaftaran untuk memastikan semua pemandu mempunyai EVP yang sah sebelum memulakan tugasan.
“Sebagai langkah tambahan, MAXIM dan INDRIVE juga memberi akses data secara “view only” kepada APAD bagi memudahkan proses semakan silang di antara data syarikat dan data EVP di bawah pengurusan APAD,” katanya.
Tambahnya, pada 11 Julai lalu, APAD telah melaksanakan semakan rawak ke atas pemandu INDRIVE dan MAXIM dan mendapati bahawa semua pemandu yang disemak mempunyai EVP yang sah berdasarkan semakan silang dengan data rekod APAD.
“Berdasarkan hasil penelitian dan penilaian semasa oleh pihak APAD dan JPJ, langkah penambahbaikan dan komitmen yang ditunjukkan kedua-dua syarikat pengendali adalah memuaskan,” katanya. – UTUSAN










