Syarikat bukan bumiputera paling banyak mohon sijil halal

Syarikat bukan bumiputera paling banyak mohon sijil halal

SIRAJUDDIN Suhaimee (tengah) pada Majlis Perasmian Seminar Halal dan Fatwa (Sehalwa) 2025 Peringkat Kebangsaan Bertajuk Isu-Isu Pensijilan Halal di Malaysia dan Pelancaran Buku Makanan dan Minuman Berdasarkan Al-Quran, Hadis dan Fatwa di Nilai, Seremban hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Syarikat bukan bumiputera paling banyak memohon pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun lalu iaitu sebanyak 13,206 permohonan atau 67 peratus daripada jumlah keseluruhan 19,686 permohonan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, tidak dinafikan itu adalah realiti dalam kalangan pemain industri bukan bumiputera yang melihat sijil halal sebagai senjata pemasaran paling berkesan dalam meluaskan pasaran produk.

“Kecenderungan itu (memohon sijil halal) memang sejak dahulu lagi, memang kami buat pemerhatian kajian bersama dengan pihak akademik, mereka (syarikat bukan bumiputera) melihat halal ini sebagai senjata atau marketing tools.

“Apabila mereka hendak menyediakan sesuatu produk ataupun perkhidmatan, dengan adanya sijil pengesahan halal ini dapat memberi (keyakinan) bahawa produk ini sesuai untuk orang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Halal dan Fatwa (Sehalwa) 2025 Peringkat Kebangsaan Bertajuk Isu-Isu Pensijilan Halal di Malaysia dan Pelancaran Buku Makanan dan Minuman Berdasarkan Al-Quran, Hadis dan Fatwa di Nilai di sini hari ini.

Jelas Sirajuddin, permohonan pensijilan halal yang dibuat oleh syarikat bukan bumiputera merangkumi pelbagai segmen daripada premis makanan, pengilangan kontrak, farmaseutikal, kosmetik sehinggalah kepada peranti perubatan.

Beliau juga tidak menolak bahawa ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan logo halal secara tidak sah.

“Ada sesetengah pihak yang tidak faham pun apa itu halal, tetapi mereka dilihat cuba menyalahgunakan (sijil halal)

“Contohnya ada beberapa negara luar apabila melihat rakan industri mendapat pengesahan halal daripada Malaysia atau negara mereka sendiri, pasarannya melonjak dan mereka cuba menampal logo halal sedangkan produk itu sememangnya tidak boleh mendapat pensijilan halal,” katanya.

Berdasarkan statistik Jakim pada 2024, daripada 13,206 permohonan oleh pemain industri bukan bumiputera sebanyak 7,710 permohonan telah diluluskan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesedaran dalam kalangan pemain industri bumiputera dan Islam untuk mendapatkan sijil pengesahan halal perlu dipertingkatkan.

“Jakim tidak pernah menutup ruang, dari semasa ke semasa kami memerlukan kolaborasi dengan entiti dan agensi lain, kita terus berusaha agar industri bumiputera turut serta mendapat sijil halal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini