Sungai Air Batu tercemar kerana kebocoran loji dan najis lembu

Sungai Air Batu tercemar kerana kebocoran loji dan najis lembu

RAIS Yasin ditemui di Tabika Kemas Hang Jebat di Krubong, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kebocoran Loji Rawatan Larut Resap (LTP) dari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang dan aktiviti penternakan haiwan dikenal pasti sebagai punca pencemaran Sungai Air Batu di Kampung Paya Rumput Jaya di sini, minggu lalu.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kebocoran di LTP disebabkan oleh lebihan kapasiti yang terpaksa ditampung loji berkenaan.

Beliau berkata, loji itu hanya mampu menampung sebanyak 300 meter kubik berbanding kapasiti semasa 800 meter kubik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi penyelesaian jangka pendek, projek menaik taraf kapasiti LTP kepada 800 meter kubik sedang dilaksanakan. Tender untuk pembinaan sel baharu pula telah bermula dan saya difahamkan peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM50 juta.

“Sel baharu ini dijangka siap pada Februari tahun depan. Setelah siap sel kedua ini ia dapat membantu mengurangkan kapasiti sel sedia ada, sekali gus mengelak berlakunya kebocoran di LTP,” katanya ketika ditemui di Tabika Kemas Hang Jebat di sini, semalam.

Minggu lalu, kira-kira 50 petani, penternak serta penduduk sekitar terjejas selepas berlaku pencemaran yang menyebabkan warna air sungai bertukar hitam dan mengeluarkan bau busuk.

Rais berkata, penternakan lembu berhampiran kawasan sumber air turut menyumbang kepada pencemaran tersebut.

Katanya, satu mesyuarat telah diadakan kelmarin membabitkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Mereka akui memang terdapat ternakan lembu di sana. Sisa najis haiwan ini masuk ke dalam saliran air dan kemudian bertemu dengan sungai.

“Kita telah kenal pasti kawasan ternakan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya. Saya difahamkan penternak terbabit telah menambah kolam batu agar tiada air yang keluar dan mencemarkan sungai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini