‘Sudah berniaga lebih 20 tahun, tiba-tiba lesen batal’

‘Sudah berniaga lebih 20 tahun, tiba-tiba lesen batal’

Shaaripuddin Yub Kamarudin (kanan) dan Reduan dalam sidang akhbar di Desa Pandan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peniaga yang terlibat dalam kerja-kerja perobohan tapak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Desa Pandan, di sini, memberitahu mereka mempunyai lesen perniagaan yang sah dan diperbaharui setiap tahun. 

Peniaga, Mohd. Reduan Mohd. Rathi, 40, berkata, setiap peniaga juga diberikan nombor lot perniagaan sebelum lesen perniagaan dikeluarkan oleh DBKL. 

“Ada yang sudah berniaga lebih 20 tahun. Tiba-tiba, lesen dibatalkan pada Disember 2024 tanpa notis dan permohonan pembaharuan pada Januari lalu tidak diluluskan. Tiada taklimat dibuat, tiba-tiba dapat notis akan dirobohkan.

“Kami juga kesal apabila mesyuarat penting bersama pihak DBKL hanya dimaklumkan melalui WhatsApp sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan perbincangan bersama wakil penduduk dan peniaga terlibat bagi mencari jalan penyelesaian isu berkenaan.

Selasa lalu, DBKL berkata, segala proses pengosongan tapak dan merobohkan struktur di Jalan 2/76, Desa Pandan dilaksanakan secara telus mengikut prosedur sedia ada.

Mohd. Reduan berkata, pelebaran jalan berhampiran kawasan perniagaan itu menjadi kebimbangan utama penduduk kerana melibatkan keselamatan laluan pelajar ke beberapa sekolah berhampiran.

“Kemalangan sering berlaku. Baru-baru ini, seorang wanita maut dirempuh Hilux ketika berjalan kaki di laluan itu. Laluan yang berbukit itu juga digunakan oleh murid-murid untuk ke sekolah pada setiap pagi. 

“Kami juga tidak menerima sebarang perbincangan untuk penempatan semula gerai daripada pihak sepatutnya,” katanya. 

Pengerusi Persatuan Penduduk Anggerik E2, Shaaripuddin Yub Kamarudin berkata, notis untuk melakukan kerja-kerja perobohan diberikan oleh dua jabatan DBKL dengan tarikh berbeza. 

Jelasnya, perkara ini menimbulkan kekeliruan penduduk dan peniaga sehingga tidak sempat membuat sebarang persediaan. 

“Selepas itu, penguat kuasa DBKL memendekkan tarikh ke 15 Julai. Itu yang menimbulkan kelam-kabut dan kekecohan dalam kalangan peniaga,” katanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN