Subsidi telur ayam distruktur semula bermula esok

Subsidi telur ayam distruktur semula bermula esok

Kerajaan akan melaksanakan langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam bermula esok sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa secara lebih lestari dan berimpak tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam bermula esok sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa secara lebih lestari dan berimpak tinggi.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan subsidi di mana penjimatan dijana akan disalurkan semula kepada program kesejahteraan rakyat.

“Sebagai inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam, pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan Telur Gred Khas yang ditawarkan pada harga lebih berpatutan.

“Rakyat juga boleh mendapatkan telur ayam dengan harga kompetitif melalui program Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah.

“Program jualan itu dilaksanakan secara meluas di seluruh negara termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, kerajaan juga sentiasa komited memastikan rakyat memperoleh akses kepada bekalan makanan asas yang mencukupi dan berkualiti.

“Keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi.

“ Kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi ayam antara Februari 2022 hingga Disember 2024,” katanya.

Penampungan subsidi sebelum ini merupakan satu jumlah yang besar dan bersifat sementara bagi membantu rakyat serta industri semasa krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.

Katanya, kini dengan keadaan pasaran yang semakin stabil, subsidi ini disusun semula agar lebih menyeluruh dan berfokus.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui pemantauan rapi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Ia bagi membanteras sebarang bentuk pencatutan atau manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Langkah ini penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN