Suami Zehra Zambri sedia berpisah, enggan komen banyak - Utusan Malaysia

Suami Zehra Zambri sedia berpisah, enggan komen banyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Walaupun sudah bersedia melepaskan isteri, suami kepada penyanyi Zehra Zambri, Nur Mohd Iqwan Samsudin perlu menghormati arahan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat untuk menyelesaikan perceraian melalui Hakam Islah.

Menurut Mohd Iqwan, dirinya tidak keberatan melafazkan cerai melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) hari ini, namun tiada persefahaman dicapai membuatkan kes ditangguhkan pada 13 Ogos hadapan.

“Perkara (proses perceraian) ini memang berterusan dan saya ada beritahu dalam mahkamah bahawa ingin menceraikan Zehra.

“Cuma apabila melibatkan seksyen 47 ada fasa yang perlu dilalui, jadi saya hormat keputusan itu. Saya sudah sedia untuk lepaskan Zehra sebelum ini lagi cuma perlu lalui proses mahkamah.

“Sangat berat sebenarnya untuk saya lalui perkara ini tapi saya ikut saja,” jelasnya.

Mohd Iqwan ditemui Utusan Malaysia Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) bertempat di Mahkamah Rendah Syariah, Hulu Langat pada Isnin.

Ditanya mengenai permohonan Iqwan untuk menggugurkan beberapa tuntutan yang difailkan Zehra melibat keganasan rumah tangga dan isu nafkah, Iqwan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Tidak ada apa-apa keputusan dicapai hari ini, saya tidak mahu komen banyak sebab anak saya tidak sihat. Jadi untuk lebih lanjut apa-apa yang berlaku dalam mahkamah boleh tanya Zehra sebab peguamnya lebih arif dalam hal ini.

“Hari ini sepatutnya mendengar keputusan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) tapi terpaksa lanjutan kepada Hakam Islah,” jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat memerintahkan keputusan perceraian membabitkan penyanyi, Zehra Zambri dan suami, Nur Mohd. Iqwan Samsudin diselesaikan melalui Hakam Islah iaitu lantikan Hakam yang dilantik oleh pihak mahkamah.

Sebelum ini, pihak mahkamah memutuskan kedua-duanya iaitu Nur Muhd Iqwan dan Zehra untuk melantik wakil masing-masing bagi proses JKP namun tiada kata putus dicapai membuatkan kes ditangguhkan hari ini.

Pada 7 Mac lalu, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya, Nur Muhd Iqwan selepas mendakwa lebih tiga tahun mempertahankan rumah tangga mereka. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN