Suami isteri didakwa aniaya anak OKU sampai mati

Suami isteri didakwa aniaya anak OKU sampai mati

EASTA Masa Pengala (baju hitam) dan Manuel Pangawat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menganiaya anak perempuan sehingga maut. - UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan orang kurang upaya (OKU) palsi serebrum berusia sembilan tahun sehingga maut, sejak April lalu.

Tertuduh, Manuel Pangawat, 36, dan Easta Masa Pengala, 40, yang merupakan warga Indonesia membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa telah menganiayanya sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kota Laksamana 1/5, Taman Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah antara penghujung April hingga 23 Jun 2025.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan kerana kes berkenaan melibatkan kematian, selain kanak-kanak itu ialah anak kandung tertuduh wanita hasil perkahwinan terdahulu.

Katanya, jaminan RM50,000 dicadangkan kepada setiap tertuduh berserta syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Manuel yang tidak diwakili peguam merayu ikat jamin dengan alasan perlu bekerja bagi melangsaikan hutang manakala Easta memberitahu mayat anaknya belum dikebumikan dan masih berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Mahkamah membenarkan ikat jamin Manuel sebanyak RM15,000 manakala isterinya RM20,000 dan menetapkan 4 Ogos ini untuk serahan laporan bedah siasat, laporan kimia serta melantik peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN