PETALING JAYA: Pengusaha restoran berasaskan makanan barat mula berasa tekanan akibat peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), susulan pelaksanaan cukai lima peratus ke atas daging import.
Pemilik restoran Experiment Kitchen, Muhammad Hazim Yahaya berkata, pihaknya berdepan kenaikan harga antara empat hingga lima peratus sejak ia dikuatkuasakan.
Katanya, kebanyakan bahan mentah seperti kambing yang digunakan untuk hidangan seperti lamb chop diimport dari Australia dan New Zealand.
“Kenaikan SST amat memberi kesan kepada kami, terutamanya apabila margin keuntungan restoran semakin mengecil.
“Kebiasaannya, kami memerlukan kira-kira 10 kilogram (kg) daging dan tiga kotak ayam setiap hari. Selain itu, restoran makanan dan minuman (F&B) seperti kami terpaksa melalui beberapa peringkat rantaian pembekalan yang turut menyumbang kepada peningkatan harga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Meskipun berdepan kenaikkan kos, Muhammad Hazim memilih tidak menaikkan harga, sebaliknya membuat pelarasan bersesuaian di restorannya yang telah beroperasi sejak sembilan tahun lalu di Cheras.
“Harga kekal, tetapi saya kecilkan sedikit saiz hidangan atau ubah suai sajian. Contohnya tidak meletakkan kentang lenyek (mashed potato).
“Kami berusaha menyesuaikan hidangan agar kos bahan mentah masih dapat dikawal, selain memastikan bayaran gaji pekerja dan komitmen operasi tetap terjaga.
Sejak SST dilaksanakan, saya perhatikan lebih ramai pelanggan mula berjimat dan kurang makan di luar,” katanya. – UTUSAN











