Soal agama, cukup saya dan keluarga yang tahu - Naysilla Mirdad - Utusan Malaysia

Soal agama, cukup saya dan keluarga yang tahu – Naysilla Mirdad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Dibesarkan daripada dua latar belakang agama yang berbeza, pelakon popular Indonesia, Naysilla Mirdad lebih selesa mengunci rapat mengenai status pegangan yang dianutinya.

Naysilla yang merupakan anak kepada pasangan selebriti Indonesia, Jamal Mirdad dan Lidya Kandou berkata, perkara itu cukup sekadar diketahui keluarga demi menjaga perasaan antara satu sama lain.

“Orang tua saya berbeza agama. Jadi, kepercayaan mereka berbeza, bahkan sampai sekarang. Namun, saya tahu kedua belah pihak itu juga pasti punya harapan buat anak-anaknya.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah membuka perkara itu kepada media. Cukup sekadar saya dan keluarga yang tahu. Ini kerana sebagai anak, saya mahu menjaga perasaan orang tua,” katanya.

Naysilla berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Tabayyun arahan Key Mangunsong, di Pavilion Bukit Jalil, kelmarin.

Mengulas mengenai filem tersebut, Naysilla yang memegang watak sebagai Arum memaklumkan setiap pelakon yang membintangi naskhah itu mempunyai peranan yang sangat besar dalam memastikan mesejnya sampai ke hati penonton.

“Untuk menjayakan watak ini sememangnya agak mencabar. Setiap pelakon mempunyai jalan cerita dan kesedihan yang berbeza.

“Saya dapat merasakan apa yang Arum lalui kerana dirinya menaruh harapan yang tinggi terhadap seorang lelaki yang dia cintai. Namun, dia tidak menyangka lelaki yang sentiasa bersamanya itu mencintai orang lain,” jelasnya.

Selain Naysilla, filem Tabayyun turut dibintangi barisan pelakon Indonesia hebat seperti Titi Kamal dan Ibrahim Risyad.

Filem itu sudah mula ditayangkan di seluruh panggung di Malaysia, sejak 10 Julai.

Untuk info, status agama kedua ibu bapa Naysilla bukanlah rahsia kerana Jamal beragama Islam, manakala Lydia adalah seorang penganut Kristian.

Pada 2020, Naysilla pernah dikhabarkan sudah memeluk Islam namun kesahihannya tidak diketahui sehingga kini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN