KUALA LUMPUR: Penyedia sistem aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM195,000 sebulan sekiranya gagal memastikan tren berada dalam keadaan operasi yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pihak Original Equipment Manufacturer (OEM) bertanggungjawab penuh dalam memastikan tahap ketersediaan aerotrain mencapai 100 peratus bagi satu tren dan 99.5 peratus bagi dua tren yang beroperasi serentak.
“Toleransi bagi sebarang kegagalan sistem adalah amat ketat. Jika tidak memenuhi tahap ini, penalti akan dikenakan bermula sehingga RM109,000 sebulan dan boleh mencecah RM195,000 dalam kes tertentu,” katanya.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung jaminan kerajaan terhadap keselamatan dan keberkesanan sistem aerotrain selepas beberapa insiden gangguan yang menjejaskan reputasi KLIA.
Hasbi berkata, pelaksanaan mekanisme penalti itu penting bagi memastikan pihak OEM benar-benar serius dalam menjaga aspek operasi dan penyelenggaraan sistem yang digunakan ribuan penumpang setiap hari.
“Prestasi semasa operasi aerotrain kini berada pada tahap 100 peratus hasil pelbagai tindakan segera yang diambil oleh pihak kerajaan bersama kontraktor terlibat.
“Alhamdulillah, setakat ini prestasi operasi berada di tahap optimum. Kita dalam fasa post-trial run dan sedang perkemaskan lagi sistem sebelum diguna penuh oleh orang ramai.
“Pakar dari Perancis juga berada dalam keadaan bersiap siaga di lokasi bagi memantau serta memastikan semua aspek keselamatan sistem aerotrain berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelemahan sistem yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna dan imej negara.
“Kerjasama rapat terus dijalankan dengan pihak penyelenggara untuk memastikan sistem ini kekal pada prestasi terbaik setiap masa. Insya-Allah, kita harap perjalanan sistem ini akan terus lancar tanpa sebarang gangguan selepas ini,” katanya.










