SMK Tinggi Melaka sasar lima terbaik MJHL 2025

SMK Tinggi Melaka sasar lima terbaik MJHL 2025

Rais Yasin menyaksikan Ketua Perniagaan Global TNB, Datuk Azmi Md. Yusof menyampaikan penajaan RM100,000 kepada Pengetua, Johan Othman di SMK Tinggi Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Skuad hoki Sekolah Menengah Kebaangsaan (SMK) Tinggi Melaka Thunderbolts (MHS Thunderbolts) menyasarkan menduduki antara lima pasukan terbaik menjelang saingan Divisyen Satu Kejohanan Hoki Liga Remaja Malaysia (MJHL) 2025 bermula 7 Julai hingga 23 Ogos ini.

Presiden Persatuan Hoki Melaka (PHM), Datuk Rais Yasin berkata, beliau yakin dengan reputasi pemain SMK Tinggi Melaka untuk menepati sasaran selepas menjuarai Liga Divisyen 2 MJHL tahun lalu seterusnya layak beraksi di Divisyen Satu musim ini.

Beliau yang juga Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, jika skuad itu kekal beraksi pada Divisyen Satu musim depan penaja utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menambah tajaan daripada RM100,000 tahun ini kepada RM150,000 musim depan.

“SMK Tinggi Melaka adalah sekolah berprestasi tinggi dalam bidang hoki dan telah melahirkan ramai pemain hoki di peringkat kebangsaan dan negeri selain sering mengungguli kejohanan di peringkat negeri.

“Hari ini pasukan ini menjadi ‘anak angkat’ kepada TNB yang ketujuh serta mendapat penajaan sebanyak RM100,000 dan saya harap mereka beraksi cemerlang pada cabaran MJHL September ini,” ujarnya pada majlis pelancaran Pasukan Hoki Thunderbolts SMK Tinggi Melaka di sini hari ini.

Sementara itu jurulatih pasukan, Muhammad Fahmi Zulkifli berkata, pemilihan SMK Tinggi Melaka sebagai anak angkat TNB serta menerima penajaan RM100,000 menjadi suntikan semangat menghadapi cabaran Divisyen Satu MJHL 7 Julai ini.

Menurutnya, persiapan pemain berjalan lancar dan bersedia mengharungi cabaran getir bersaing dengan pasukan pilihan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI) dan SMK Anderson dari Perak.

“Sasaran utama kita mula beraksi di Divisyen Satu tahun ini adalah untuk bermain cemerlang serta menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima pasukan teratas liga seterusnya kekal beraksi pada musim depan,” ujarnya.

Katanya, SMK Tinggi Melaka turut menghantar pasukan junior untuk menyertai Divisyen Dua MJHL 2025 yang berlangsung secara karnival. – UTUSAN

pix1. Rais Yasin menyaksikan Ketua Perniagaan Global TNB, Datuk Azmi Md. Yusof menyampaikan penajaan RM100,000 kepada Pengetua, Johan Othman di SMK Tinggi Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP

pix2. Rais Yasin bergambar bersama pengurusan pasukan hoki SMK Tinggi Melaka Thunderbolts selepas majlis pelancaran di Banda Hilir, Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN