GENTING HIGHLANDS: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan mempunyai persamaan dengan penyanyi, Aina Abdul apabila masing-masing dibesarkan oleh figura bapa yang percaya kepada impian mereka bergelar penyanyi.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, Aina pernah berkongsi cerita bahawa arwah bapanya, Abdul Ghani, akan membelikan cakera padat (CD) lagu-lagu Siti untuk latihan nyanyian.
“Saya dan Aina mempunyai persamaan kerana sama-sama bermula dari bawah dengan menyertai pertandingan nyanyian. Apa yang penting, kami mempunyai sistem sokongan yang bagus. Arwah ayah saya dulu beli set karaoke supaya saya berlatih nyanyi setiap kali balik sekolah.
“Oleh sebab saya tinggal di berek polis, saya hanya boleh bernyanyi sebelum orang pulang kerja iaitu pukul 4:30 hingga 5 petang.
“Aina pun sama, dia pernah kongsikan sebelum ini arwah ayahnya belikan CD lagu saya untuk beliau berlatih nyanyi. Kami bermula dari bawah dan berusaha tanpa jemu,” katanya.
Cerita itu disampaikan Siti kerana terharu dengan sokongan Aina yang hadir ke Konsert Violet Skies Datuk Seri Siti Nurhaliza Live in Arena of Stars, baru-baru ini.
Jelas Siti lagi, walaupun sudah bergelar penyanyi selama tiga dekad, dia enggan terus duduk di tempat selesa sebaliknya mahu belajar untuk memperbaiki mutu karya.
“Sampai hari ini saya tidak pernah rasa sudah berada di fasa selesa. Setiap kali buat album, saya macam budak baru belajar. InsyaAllah, saya akan fokus kepada album tradisional dan rancang nak buat konsert tahun hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Aina turut mengesahkan perkara itu dengan sebuah hantaran khas buat Siti Nurhaliza di Instagram peribadinya.
“Dari sekolah rendah Aina sudah dengar suara emas ini, saya kumpul CD dan dengar lagu-lagu beliau bersama arwah abah dalam kereta sewaktu pulang sekolah. Masa yang indah.
“Gembira dapat ke konsert Kak Iti (Siti) kelmarin dan dapat dengan lagu yang jarang dibawakan. Belum boleh ‘move on’ lagi. Terima kasih sebut nama saya tapi saya segan,” tulisnya.
Terdahulu, Konsert Violet Skies Datuk Seri Siti Nurhaliza Live in Arena of Stars berlangsung selama dua hari iaitu 5 dan 6 Julai di Genting Highlands.
Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah penyanyi jemputan, Noh Salleh yang berduet dengan Siti menyanyikan tiga buah lagu iaitu Rahsia Tuhan, Pagi Yang Gelap serta lagu popular Indonesia, Bengawan Solo. -UTUSAN