SABAK BERNAM: Kemasukan seramai 100,000 pelancong disasarkan melalui tawaran pakej pelancongan Desa Kirana di 25 kawasan di seluruh negara menjelang akhir Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Jumlah tersebut dijangka mampu dicapai apabila berlaku perubahan tren pelancongan apabila kawasan desa kini menjadi tumpuan pelancong khususnya dari Jepun dan Korea, berbanding pusat bandar walaupun terdapat pelbagai tarikan dan kemudahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, warga desa tidak seharusnya menjadi penonton kemasukan pelancong ke negara ini semata-mata, sebaliknya perlu diberi ruang untuk meraih peluang ekonomi tempatan.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada agenda TMM 2026 dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama persatuan-persatuan pengusaha inap desa.
“Masyarakat kampung harus mengambil peluang untuk mempromosikan produk-produk perdesaan (Desa Kirana) yang menumpukan peluang kepada pelancong-pelancong menikmati budaya, seni, tradisi, makanan ataupun suasana perkampungan.
Kerjasama dua kementerian dengan persatuan pengusaha inap desa, kita menjangkakan pelancong terutamanya dari Jepun dan Korea amat berminat untuk datang ke kawasan perdesaan,” katanya dalam ucapan pelancaran Pakej Lengkap Desa Kirana, hari ini.
Jelasnya, kerajaan juga enggan melihat pelancong-pelancong yang dikategorikan sebagai berpendapatan tinggi hanya melawat atau menikmati destinasi pelancongan di dalam bandar.
Produk pelancongan Desa Kirana merupakan pendekatan strategik pelancongan desa yang komprehensif dan unik dengan komuniti sebagai penggerak utama, selari dengan persediaan negara menjelang TMM 2026.
Ia juga antara anjakan paradigma yang kini menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi luar bandar dengan penekanan kepada lima elemen tarikan iaitu warisan dan kebudayaan, alam semula jadi, gastronomi tempatan, produk tradisional serta pengalaman kehidupan desa.
Ahmad Zahid berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Tahun Melawat Malaysia, beliau memberi perhatian kepada persiapan-persiapan bagi menarik kehadiran pelancong menerusi TMM 2026.
“Kebanyakan pelancong datang dari rantau ASEAN dan Oceania seperti Australia dan New Zealand serta Eropah. Namun sangat sedikit yang datang dari Amerika Utara atau Amerika Selatan.
“Sebenarnya, yang terbanyak datang dari China dan India. Apabila keberadaan pelancong di negara kita pada tahun depan, mereka akan berbelanja sama ada untuk menginap atau menikmati hidangan tempatan,” ujarnya. – UTUSAN










