Sindiket jual dadah guna WeChat tumpas

Sindiket jual dadah guna WeChat tumpas

M. KUMAR menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbàr di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dadah yang menawarkam barangan itu menerusi aplikasi WeChat tumpas apabila lima ahlinya termasuk dalang ditahan dalam tiga operasi di sekitar bandar raya ini pada 19 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam berusia antara 29 hingga 46 tahun ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.95 juta.

“Modus operandi sindiket ini adalah mengiklankan dadah tersebut menggunakan aplikasi WeChat, sebelum urusan jual beli dibuat sepenuhnya dalam talian.

“Apabila pembayaran dibuat, sindiket akan meletakkan paket dadah dijual antara RM100 hingga RM200 itu di kawasan-kawasan umum seperti tepi longkang dan berdekatan tong sampah untuk diambil pembeli,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kumar berkata, dadah tersebut termasuk 16.9 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 104 gram ketamin; 548 gram pil eramin 5.4 kg pil ekstasi dan 7 gram pil yaba.

“Selain itu, kami turut menyita alat-alat memproses dadah, lima buah kenderaan, wang tunai dan pelbagai barangan kemas bernilai RM256,601.

“Kelima-lima suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala tiga suspek lelaki merupakan individu dikehendaki polis dengan mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya.

Semua suspek kini ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau memaklumkan sejak 1 Januari hingga 30 Jun lalu, pihaknya telah merampas 1.08 tan serta 5,816.56 liter dadah bernilai RM106.97 juta serta menahan seramai 12,835 individu atas pelbagai kesalahan dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN