PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah, belum boleh berkongsi kenyataan rasmi kepada pihak media berhubung dakwaan diserang seorang penyanyi bertaraf legenda tanah air, baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan pengurus kepada artis tersebut, Aini Shuhaidah dalam satu kenyataan di Instagram mengatakan mereka perlu mematuhi nasihat yang diberikan pihak polis.
“Assalammualaikum, kepada kawan media yang mencari Shila Amzah malam ini. Maaf kami tidak dapat berikan sebarang kenyataan atas nasihat polis serta menghormati permintaan pihak penganjur malam ini.
“Mohon maaf rakan media semua. Bila sudah sedia, kita aturkan temu ramah ya,” tulisnya.
Shila merupakan salah seorang penyanyi yang dijadualkan tampil di Konsert Ulang Tahun Ke-20 Mr D.I.Y di Stadium Merdeka pada Jumaat.
Terdahulu, Shila Amzah, mendakwa dirinya telah diserang secara terbuka oleh seorang artis bertaraf legenda ketika sesi latihan bagi sebuah konsert
Shila turut mendakwa tindakan individu terbabit telah menimbulkan rasa cemas (anxiety) yang memberi kesan terhadap emosi dan keselamatannya sebagai seorang artis.
Warganet mula berteka-teki dan memetik beberapa nama seperti Ella, Datuk Awie dan Datuk Amy Search.
Bagaimanapun, Datuk Awie tampil menafikan dirinya terlibat dengan insiden tersebut. – UTUSAN