Setiausaha Negara AS lawat Malaysia hari ini

Setiausaha Negara AS lawat Malaysia hari ini

Marco Rubio
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mengadakan lawatan ke Malaysia hari ini bagi menghadiri beberapa siri mesyuarat serantau peringkat tinggi dan sesi libat urus dua hala.

Ia merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Asia sejak memegang jawatan itu awal tahun ini.

Berdasarkan kenyataan dalam laman web Jabatan Negara AS, Rubio dijadual berada di Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 12 Julai dan akan menghadiri Persidangan Pasca Menteri ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur serta Mesyuarat Menteri-menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF) yang bermula Khamis ini.

Beliau juga dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan sepanjang lawatan tersebut.

“Lawatan ini memperlihatkan komitmen baharu Washington untuk memperkukuh keterlibatannya di rantau Indo-Pasifik.

“Rubio akan memberi tumpuan kepada usaha memperteguh komitmen AS dalam memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan selamat.

“Sepanjang lawatan ini, Rubio akan menekankan kekuatan Perkongsian Strategik Komprehensif AS-ASEAN dalam menyampaikan manfaat kepada rakyat AS dan Asia Tenggara, selain menzahirkan komitmen untuk memperkukuh perkongsian komprehensif dengan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Kesemua menteri luar negara anggota ASEAN dijangka hadir kecuali Myanmar yang hanya bakal diwakili oleh pegawai kanan kementerian luarnya. Menteri Luar Timor-Leste pula akan turut serta sebagai pemerhati.

ARF yang merupakan sebahagian daripada program Sidang Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) menghimpunkan ASEAN, rakan dialog dan pihak berkepentingan utama lain seperti AS, China, Rusia, Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Australia.

Selain agenda rasmi, para menteri luar juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dan pelbagai hala di luar mesyuarat utama.

Malaysia menjadi tuan rumah AMM sempena Pengerusi ASEAN buat kali kelima, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Mesyuarat peringkat tinggi ini dijangka menarik kehadiran sekitar 1,500 perwakilan termasuk menteri-menteri luar negara anggota ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, peserta ARF, rakan dialog sektoral serta pegawai Sekretariat ASEAN.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN