Malaysia tidak akan runding selagi Israel berlaku kejam

Malaysia tidak akan runding selagi Israel berlaku kejam

ANWAR Ibrahim melihat naskhah al-Quran beserta terjemahan pada pelancaran percetakan al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Russia di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan berunding dengan mana-ma­na pihak selagi kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin terus berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri An­war Ibrahim menegaskan, Ma­laysia hanya akan bercakap me­ngenai pendamaian selepas pe­nindasan terhadap Gaza dan Pa­lestin dihentikan sepenuh­nya.

“Hentikan keganasan, hentikan genosid, hentikan pembunuhan, hentikan penjajahan. Tiada rundingan sebelum itu.

“Mana boleh kita ­runding dengan orang yang bunuh hari-hari. Dia datang rumah saya, bunuh anak isteri saya dan kemudian kata boleh tak kita run­ding nak ikhtiar? Tidak mungkin itu berlaku,” katanya pada Majlis Pelancaran Per­cetakan Al-Quran dan Terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Rusia dan Pelancaran Mushaf Al-Ummah Al-Jami’ di Kompleks Nasyrul Quran di sini, semalam.

Menurutnya, Malaysia menentang sebarang usaha kolonisasi, penindasan, kekejaman dan jenayah genosid oleh mana-mana pihak ke atas mana-mana negara.

Katanya, beliau melihat keadaan di Palestin hari ini jauh lebih buruk di mana Zionis terus melakukan kekejaman tanpa belas kasihan.

“Sudah tentu ini amat dikesali. Saya menganggapnya sebagai satu kegagalan besar. Malaysia konsisten menegakkan prinsip kemanusiaan dan keadilan.

“Kami menentang sebarang pencabulan terhadap keaanan sejati yang sepatutnya menyelamatkan nyawa manusia. Kita telah kehilangan rasa kemanusiaan itu.

“Malaysia juga konsisten dalam mengambil tindakan tegas di peringkat antarabangsa. Kami juga telah menyatakan pendirian kepada semua Pre­siden dan Perdana Menteri, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, agar menggunakan pengaruh mereka untuk menghentikan pembunuhan,” katanya.

Pada 30 Julai lalu, Perancis dan Arab Saudi membawa Deklarasi New York ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan mengetengahkan cadangan pelaksanaan penyelesaian dua negara (2SS) sebagai jalan penyelesaian konflik Israel-Palestin.

Deklarasi itu turut mema­sukkan syarat utama supaya Hamas meletak senjata dan menyerahkan kuasa pentadbiran Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin.

Pelbagai pihak menggesa kerajaan menolak deklarasi itu yang dianggap berat sebelah dan menafikan hak rakyat Pa­lestin sepenuhnya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia melahirkan rasa kurang selesa terhadap Deklarasi New York itu ekoran prasyarat digariskan bercanggah dasar luar Malaysia.

“Kita punya sokongan untuk mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka, itu memang sokongan dari dulu lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN