GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas penyediaan menu Rahmah di semua kafeteria bagi memastikan makanan ditawarkan pada harga berpatutan sejajar usaha mengurangkan beban pelajar akibat kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam kalangan pelajar B40.
Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pengusaha kafeteria diarahkan mengekalkan harga jualan dan memastikan pelajar luar kampus menerima manfaat itu.
“Kadar sewa premis turut dinilai semula bagi mengelakkan beban kepada peniaga dan seterusnya mengawal harga makanan di kampus,” katanya semalam.
Mengulas mengenai inisiatif Food Bank, Abdul Rahman berkata, ia ditambah baik dengan penawaran lebih banyak barangan asas dan sedang giat mendapatkan sumbangan daripada syarikat korporat dengan Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. antara bersetuju menyumbangkan nasi lemak setiap hari kepada pelajar.
Katanya, jawatankuasa khas ditubuhkan bagi merangka inisiatif jangka pendek dan panjang dalam menangani isu kos sara hidup, selain menyediakan bantuan kecemasan melalui Unit Kebajikan dan OKU, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA).
Beliau berkata, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti barangan asas yang terkesan akibat kenaikan kos, termasuk harga makanan, cetakan, fotostat dan perbelanjaan harian pelajar.-UTUSAN










