KANGAR: UMNO tidak menghalang sebarang perhimpunan yang menjadi hak semua pihak termasuk pembangkang, namun apa lebih penting mereka perlu tertib dan menjaga keamanan serta keharmonian.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perhimpunan adalah hak semua pihak dalam negara demokrasi yang menjunjung Perlembagaan.
Katanya, semua parti sudah merasai menjadi kerajaan dan apabila ketika ini mereka menjadi pembangkang ingin berhimpun atas apa jua nama, perlu diterima.
Ujarnya, semua pihak termasuk kerajaan sendiri menghormati demokrasi dan hak untuk bersuara.
“Apa yang paling penting jaga tertib, keamanan dan keharmonian dengan tidak menimbulkan perkara boleh merosakkan keamanan dan kesejahteraan yang ada.
“Malah, Perdana Menteri sendiri memaklumkan bahawa polis akan membantu memastikan keamanan terpelihara. Terserahlah kepada pembangkang hendak bawa ahli seramai mana,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini.
Kelmarin Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati demokrasi dan hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak yang menentang kerajaan.
Malah, Perdana Menteri juga sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama sewajarnya demi memastikan keselamatan awam terpelihara.
Perhimpunan ‘Turun Anwar’ dijadual berlangsung esok di ibu negara yang dijangka menarik kehadiran puluhan ribu peserta khususnya dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memastikan kerusi Parlimen Kangar kekal ditandingi calon dari parti itu dan tidak sewenang-wenangnya melepaskan kawasan berkenaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, secara asas, kerusi tersebut adalah merupakan milik BN malah dalam pilihan raya sebelum ini juga, parti itu meraih kedudukan kedua tertinggi biar pun tewas kepada calon PN.
“Kerusi Parlimen Kangar juga mempunyai potensi besar untuk dimenangi calon BN dalam pilihan raya akan datang. Terdapat beberapa asas telah dipersetujui dalam kerajaan Perpaduan sebelum ini iaitu yang pertama, kerusi-kerusi yang menang itu akan dikekalkan dan kedua pula, parti mendapat tempat kedua tertinggi dalam PRU15, akan bertanding semula di kerusi berkenaan.
“Manakala asas ketiga pula ialah kita akan berunding untuk pertukaran sesebuah kerusi. Dan di Kangar ini, saya lihat asas itu terletak dalam kategori kedua,” katanya. – UTUSAN










