PETALING JAYA: Perdana Menteri akan membuat pengumuman penghargaan kepada rakyat Malaysia pada pukul 10.30 pagi esok yang disiarkan serentak di beberapa buah stesen televisyen tempatan.
Datuk Seri Anwar berkata, pengumuman seperti yang telah beliau janjikan sebelum ini adalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Madani kepada rakyat yang sentiasa teguh bersama dalam setiap langkah reformasi
“Moga pengumuman ini membawa manfaat buat rakyat terbanyak, dan menjadi cerminan usaha kita bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Minggu lalu, Anwar turut memuat naik hantaran di media sosial menyatakan bahawa satu pengumuman besar akan dibuat dalam masa terdekat namun tiada maklumat terperinci diberikan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat. – UTUSAN