KUALA LUMPUR: Datuk Aaron Aziz merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat pengurusan haji dan umrah yang culas melangsaikan hutang terhadap pelakon berkenaan.
Kata Aaron, beliau tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat berkenaan yang sehingga kini ‘menyepi’ dan gagal dijejaki.
“Mereka masih belum lagi menyelesaikan bayaran berjumlah RM65,000 kepada saya.
“Mereka berdiam diri, panggilan telefon tidak berjawab dan mesej tidak dibalas.
“Jangan hilangkan diri. Selesaikan hutang secepat mungkin,” katanya di TikTok baru-baru ini.
Aaron sebelum ini pernah mendedahkan beliau terpaksa mendahulukan RM90,000 bagi membantu sekumpulan jemaah umrah yang terkandas gara-gara kesilapan syarikat yang sama.
Katanya, kali ini beliau akan melantik peguam untuk mengheret pemilik syarikat tersebut ke muka pengadilan kerana melanggar syarat yang telah dipersetujui.
“Mereka telah melanggar kontrak, tidak tepati persetujuan untuk lunaskan bayaran secara ansuran. Jadi, tunggu surat peguam daripada pihak saya,” tegasnya.