Sekumpulan warga asing didakwa culik ahli perniagaan Bangladesh

Sekumpulan warga asing didakwa culik ahli perniagaan Bangladesh

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan warga Bangladesh bagi mendapatkan wang tebusan, bulan lalu.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim

Tertuduh ialah warga Bangladesh Sohel Rana, 40, dan Sahajahan, 37, bersama lima warga Myanmar iaitu Abdul Majid Abdul Malik, 25; Soforodin Fozol Korim, 25; Mokhtar Huson Zaher Huson, 26; Mohammad Ismail Azita Rahman, 23; dan Mohammad Arafat Hussein Jamal Mustafa, 24.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa menculik seorang lelaki berusia 47 tahun di hadapan sebuah masjid di Sentul pada pukul 11.30 malam, 26 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani mengendalikan pendakwaan manakala peguam bela, K. Komagan mewakili Sohel Rana, manakala enam tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN