Sekolah tutup jika IPU tidak sihat - Fadhlina

Sekolah tutup jika IPU tidak sihat – Fadhlina

FADHLINA Sidek semasa berucap pada Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2024 di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan di sini hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekolah di kawasan yang bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi tahap tidak sihat iaitu 201 ke atas bakal ditutup sementara waktu dan memberi ruang kepada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan tindakan kecemasan menghadapi jerebu bagi melindungi keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah.

“Garis panduan kita jelas, jika bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti luar dilarang. Sekiranya IPU melebihi 200, PdPR akan dilaksanakan.

“Maknanya, murid-murid akan mengikuti pembelajaran secara dalam talian dari rumah,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Digital Ultilisation and Technology Awards (DUTA) 2024.

Tambah Fadhlina, Ketua Pengarah Pendidikan sudah memberi arahan dan penjelasan kepada semua Pengarah Pendidikan Negeri agar mengambil tindakan segera berdasarkan bacaan IPU setempat.

Pada 11 pagi tadi, Utusan Malaysia melaporkan, empat lokasi di tiga buah negeri mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Berdasarkan Sistem Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua bacaan tertinggi direkodkan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (153) dan Seremban (152).

Dua lagi kawasan yang merekodkan bacaan tertinggi ialah di Johan Setia, Selangor (152), diikuti Kuantan, Pahang (132).

Sementara itu, sebanyak 64 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana dengan bacaan 52 sehingga 98.

Antara kawasan yang terlibat ialah Banting, Selangor (98), Kuala Terengganu, Terengganu (85), Petaling Jaya, Selangor (78), Alor Setar, Kedah (61) dan Kapit, Sarawak (52). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN