SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 10 September depan bagi sebutan kes untuk pembelaan memasukkan representasi seorang anggota polis yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, tahun lalu.
Perkara itu diputuskan dalam prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nadia Othman.
Peguam Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 27, berkata, pihaknya perlu meneliti semua dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan hari ini.
Jelasnya, dokumen yang diserahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman itu antaranya meliputi laporan patologi, kimia dan forensik.
“Justeru, pihak pembelaan memerlukan tempoh bagi meneliti keseluruhan dokumen berkenaan. Kami akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada akan memasukkan representasi atau tidak pada 10 September nanti,” katanya ketika ditemui selepas prosiding itu yang turut disertai peguam Aida Jaafar.
Pada 12 Jun lalu, Muhammad Alif mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25, yang mayatnya ditemukan dalam ladang kelapa sawit di Ladang SKC Kledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian wanita itu antara pukul 9 pagi, 10 Julai hingga pukul 6 petang, 15 Julai 2024 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati penjara atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai 2024 selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayat wanita itu dijumpai polis di kawasan ladang kelapa sawit serta membawa kepada penahanan seorang anggota polis bertugas di Perak bagi membantu siasatan.-UTUSAN











