PETALING JAYA: Polis menemukan satu beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah, 25 sewaktu operasi pencarian bahan bukti dilakukan, di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan berhubung penemuan bahan bukti itu.
“Ya. Bag wanita dipercayai kepunyaan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media semalam melaporkan operasi pencarian baki bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini diteruskan di sebuah lagi lokasi kira-kira 20 minit dari Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Hussein berkata, operasi tersebut bagi mencari bahan bukti dipercayai barangan peribadi milik mangsa.
Pada hari yang sama, Hussein turut mengesahkan pihaknya menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa yang dibuang di dalam parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di sini.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –UTUSAN










