PASIR PUTEH: Tindakan seorang individu yang didakwa menyebat patung mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan Turunkan Anwar di ibu negara, Sabtu lalu disifatkan bukan sahaja biadap malah cuba menyemai kebencian terhadap kepemimpinan negara.
Susulan insiden itu, satu laporan polis dibuat oleh wakil gabungan parti Kerajaan Perpaduan iaitu PKR, UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) Pasir Puteh di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh hari ini, bagi mendesak tindakan diambil terhadap individu terlibat.
Ketua Cabang PKR Pasir Puteh, Kamarudin Mat Zin berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja menghina Perdana Menteri, malah mencabar prinsip politik matang dan demokrasi yang sepatutnya menjadi asas perbezaan pendapat dalam negara.
“Kami kesal dengan tindakan angkuh dan tidak bertamadun ini. Ia bukan sekadar simbolik tetapi satu bentuk hasutan. Ia berniat jahat untuk memburukkan Perdana Menteri di mata rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, aksi provokasi seperti itu tidak wajar dibiarkan kerana boleh mencetuskan ketegangan awam dan mengancam keharmonian politik negara. – UTUSAN










