PETALING JAYA: Walaupun terkilan dirinya menjadi mangsa kecaman di media sosial, anak kepada pelakon Dharma Harun Al-Rashid, Muhammad Al Syafiq, 36, tidak menyimpan dendam malah memaafkan warga maya yang menyangkanya tidak bekerja.
Jelas Syafiq yang juga pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dia tidak ‘goyang kaki’ sebaliknya melakukan kerja sambilan sebagai barista dan menjadi pelakon untuk menyara keluarga.
“Netizen tidak tahu perkara sebenar, saya pun tidak berhasrat mahu cerita apa yang saya lakukan untuk bantu ayah. Saya kerja di sebelah malam sebagai barista dan terima tawaran sebagai pelakon jika tidak sibuk dengan kelas atau tugasan kuliah.
“Walaupun ada yang menyerang saya sehingga ke media sosial Aswara, saya tenang kerana mereka di sini tahu apa saya lakukan iaitu bekerja, belajar dan mendapat keputusan cemerlang.
“Kawan-kawan banyak beri sokongan moral bahkan dekan saya pun ada ajak berjumpa untuk memahami situasi saya. Saya tidak fikir soal imej terjejas atau tidak.
“Saya tidak kisah tentang itu, sedangkan Nabi Muhammad pun orang kecam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Namun begitu, Syafiq berharap agar warganet tidak bertindak melulu dengan mengecam keluarga dan rakan terdekatnya sehingga boleh menjejaskan mental mereka.
“Saya maafkan sesiapa sahaja yang salah anggap terhadap saya. Terus terang, tiada apa pun yang saya mahu pendam sebab mereka di luar tidak tahu.
“Cuma saya mohon jangan serang keluarga saya iaitu ayah dan kakak atau kawan saya. Kecam saya tidak mengapa kerana mental saya kuat. Keadaan mereka saya tidak tahu. Tapi saya percaya bila kita ikhlas, Allah akan tolong,” katanya.
Terdahulu, anak Dharma iaitu Syafiq dan Siti Qurratu Aini menjadi tumpuan apabila terdapat segelintir warga maya yang bertindak melakukan ‘serangan’ di media sosial kerana masih bergantung kepada kewangan bapanya yang sakit.
Sebelum ini pelakon Adik Manja itu mendedahkan mengalami pelbagai masalah kesihatan hingga berat badannya turun mendadak ke 45 kilogram. -UTUSAN