PETALING JAYA: Penerbit, Datuk A. Aida kesal dengan segelintir warganet yang menuduh beliau mengejar publisiti apabila menawarkan diri untuk membantu pelakon Dharma Harun Al Rashid.
Kata A. Aida atau Zaidah Awang, dakwaan netizen terlibat tidak berasas dan mengguris perasaan beliau yang ikhlas meringankan beban pelakon veteran tersebut.
“Ramai yang tuduh begitu. Saya nak publisiti untuk apa? Nama A. Aida ini sudah cukup dikenali.
“Tak mengapalah, saya pun biasa hadap mulut netizen. Bukan baru semalam saya masuk bidang hiburan, jadi faham sangat dengan keadaan ini.
“Kepada yang puji dan memberi kata-kata baik, Alhamdulillah. Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan anda.
“Kepada netizen mulut longkang yang menyakitkan hati, saya halalkan. Cuma mereka jawablah kepada Allah,” katanya semasa sidang media telemovie Bos Nak Cuti di pejabat A. Aida Production, baru-baru ini.
A. Aida ketika melawat Dharma di kediamannya sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk menawarkan kerja lakonan untuk membantu pelakon berkenaan.
“Saya akan bantu. Beri dia watak sampingan, sekurang-kurangnya dia ada pendapatan. Niat saya untuk tolong dia,” kongsinya.
Sementara itu, penerbit berusia 55 tahun itu memaklumkan sebelum ini pernah membantu ramai artis lain dalam kesusahan namun tidak menceritakan perkara itu kepada umum.
“Sebelum ini ada yang hubungi saya minta tolong sebab berpotensi dihalau kerana tiga bulan tak bayar sewa. Ada juga kereta hampir ditarik kerana tak mampu bayar.
“Saya tolong mereka, dahulukan bayaran 50 peratus, kemudian mereka berlakonlah dalam drama saya.
“Semua ini saya tidak ceritakan sebab memang niat saya untuk bantu artis dalam kesusahan,” kongsinya.