Sanusi layak Naib Presiden Pas

Sanusi layak Naib Presiden Pas

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor layak diketengahkan sebagai Naib Presiden Pas kerana mempunyai rekod cemerlang sebagai Menteri Besar Kedah di samping mempunyai pengaruh dalam parti.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, beliau secara terbuka bersetuju jika Muhammad Sanusi terpilih sebagai Naib Presiden Pas.

Hashim berkata, pada muktamar lalu, beliau pernah memuji Muhammad Sanusi yang pernah dua kali menolak pencalonan jawatan Naib Presiden Pas.

“Ia menjadi petunjuk bahawa Sanusi bukan seorang pemimpin yang menonjolkan diri untuk merebut jawatan. Ia merupakan satu nilai yang cukup baik seseorang pemimpin itu tidak tonjolkan diri merebut jawatan tertentu.

“Menteri Besar Kedah itu telah buktikan bahawa beliau bukan seorang yang mementingkan jawatan dan itu merupakan sikap yang baik bagi seseorang pemimpin Pas. Pemilihan kali ini, adalah masa yang tepat untuk Sanusi ke depan bertanding jawatan Naib Presiden Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, persaingan jawatan Naib Pre­siden Pas dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas 2025 di Kedah, September ini menjadi tumpuan dengan Muhammad Sanusi antara calon berpontensi diketengahkan.

Kehadiran Muhammad Sanusi sebagai calon baharu bakal merubah landskap persaingan merebut jawatan yang kini disandang Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hashim berkata, kemampuan Muhammad Sanusi itu tidak bermaksud calon-calon lain tidak layak untuk bertanding jawatan berkenaan.

“Ramai calon yang layak, berpontensi dan telah terbukti kemampuan untuk diketengahkan sebagai Naib Presiden Pas, namun terpulang kepada perwakilan untuk pencalonan,” katanya.

Sementara itu, Hashim berkata, semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan sentiasa terbuka untuk ditandingi.

Bagaimanapun, katanya Tan Sri Abdul Hadi Awang pasti kekal sebagai Presiden parti selepas menyatakan komitmen untuk terus memimpin, manakala Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga dijangka mengekalkan Timbalan Presiden tanpa saingan besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN