TELUK INTAN: Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pengambilan sampel itu bagi melaksanakan proses pemadanan dengan rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong di sini pada 19 Julai lalu.
Katanya, ujian DNA itu akan menentukan sama ada rangka manusia yang dijumpai di tingkat atas rumah dua tingkat tersebut sah milik anak bongsu Keng Jooi.
“Jabatan Forensik akan mengambil DNA adik beradik si mati untuk dibuat perbandingan di mana proses itu akan dijalankan pada minggu ini.
“Buat masa ini, tulang yang dijumpai itu telah dihantar ke jabatan forensik namun setakat ini identiti pemilik tulang itu masih belum dikenal pasti,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian bersama pasukan forensik HRPB di sini hari ini.
Menurut beliau, proses mengenal pasti pemilik rangka dan tengkorak itu juga akan dijalankan melalui pemadanan rekod rawatan pergigian.
“Difahamkan, lelaki itu ada membuat rawatan gigi di Hospital Teluk Intan pada April lalu. Oleh itu, pasukan forensik akan membuat semakan dengan rekod yang mereka miliki.
“Selain itu, bagi menyokong pengesahan identiti mangsa, pasukan forensik turut turun ke lokasi hari ini bagi mencari bukti baharu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, bau busuk dari sebuah rumah pusaka milik bekas ADUN Pasir Berdamar bagi tahun 1959-1964 membongkar penemuan rangka manusia.
Rangka tersebut disyaki milik anak bongsu Keng Jooi berusia 75 tahun yang tinggal seorang diri di rumah kayu dua tingkat itu. – UTUSAN