KUALA LUMPUR: Malaysia mahu terus memperluas peluang pasaran halal di China terutama penglibatan dalam kalangan pemain industri pelbagai kaum.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia turut mahu menjadikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) sebagai penganjuran tahunan di negara itu supaya lebih ramai pemain industri dapat menembusi pasaran China dan antarabangsa.
Beliau yang juga pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata, dalam lawatan beliau ke negara itu termasuk ke penganjuran Mihas di Shanghai, China, baru-baru ini juga menunjukkan pameran antarabangsa menjadi platform terbaik mempromosikan produk halal Malaysia.
Katanya, hasil pameran tersebut mencatat jualan RM3.2 bilion, melebihi sasaran asal RM2.5 bilion, selain menyaksikan beberapa memorandum persefahaman dalam perdagangan halal, pendidikan, teknologi dan inovasi ditandatangani.
“Mihas bukan sekadar pameran. Ia platform strategik yang membolehkan PKS Malaysia mengembangkan pasaran, menarik pelaburan, dan mengukuhkan kedudukan negara di arena global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perasmian Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi China Global 2025 Kepimpinan & Perkongsian Global dalam Era Transformasi Digital dan Hijau di Dewan San Choon, Wisma MCA, hari ini. – UTUSAN









