DUN: Tanah kubur tinggal 20 liang, Johor bangun beberapa tapak kubur baharu

DUN: Tanah kubur tinggal 20 liang, Johor bangun beberapa tapak kubur baharu

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertumbuhan penduduk, urbanisasi pesat dan pembangunan komersial menyebabkan kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada di kawasan bandar dan pinggiran bandar di negeri ini semakin terhad.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, data terkini Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menunjukkan tanah perkuburan Islam (TPI) kerajaan di kawasan bandar dan pinggiran bandar telah mencapai 80 hingga 95 peratus kadar penggunaan.

Katanya, seperti di TPI Bukit Alif telah digunakan 95 peratus dan berbaki 20 liang dijangka mampu bertahan selama lebih kurang dua bulan.

Menurutnya, TPI Sungai Danga pula berbaki 100 liang yang mana terhad kepada ahli kariah, sementara TPI Taman Impian Emas pula berbaki 600 liang lahad dan kedua-dua kawasan hanya dapat menampung jenazah selama lebih kurang setahun.

“Bagi menampung keperluan semasa, beberapa tapak tanah perkuburan Islam kerajaan yang baharu telah dicadang untuk dibangunkan antaranya TPI Bukit Rodziah, Gelang Patah seluas 10.26 ekar.

“Tapak ini sedang dalam projek pembangunan di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berjumlah RM1.8 juta yang diperuntukkan oleh MAINJ dan Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Johor (TPKIJ) dan dijangka siap pada Mei 2026 dan penggunaannya boleh menampung untuk tempoh enam tahun.

“TPI Taman Setia Eco Garden pula seluas 5.08 ekar sedang dibangunkan dengan jumlah RM1.5 juta yang disumbang Pemaju UEM Sunrise Sdn. Bhd. dan dijangka siap pada 2026 dan boleh menampung untuk tempoh lima tahun,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan ADUN Kempas (BN), Ramlee Bohani mengenai pelan dan perancangan Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan tanah perkuburan Islam di kawasan bandar kekal mencukupi.

Tambah Mohd Fared, selain itu terdapat perancangan yang akan dilaksanakan pihak PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk membangunkan TPI di kawasan utara Stadium Mount Austin berkeluasan 12.03 ekar yang terhasil dari proses SBKS Kota Seri Johor oleh pemaju Tetuan Glemaries Properties / Neraca Prisma Sdn. Bhd. dengan peruntukan sebanyak RM5.8 juta.

Beliau turut menjawab soalan ADUN Kota Iskandar (BN), Datuk Pandak Ahmad tentang tindakan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan pesat di Kota Iskandar tidak hanya tertumpu kepada nilai komersial dan pelaburan sahaja, tetapi menetapkan satu kawasan tanah perkuburan Islam yang kini semakin berkurangan.

Mohd Fared (BN-Semerah) memaklumkan, untuk memenuhi keperluan tanah keperluan tanah perkuburan untuk setiap kawasan dun khususnya di kawasan bandar dan pinggiran bandar tidak dapat dilaksanakan atas faktor kekurangan tanah dan lokasi yang sesuai untuk dijadikan tanah perkuburan.

Justeru katanya, keperluan perancangan jangka panjang untuk penyediaan dan pembangunan tapak perkuburan Islam di kawasan bandar sangat memerlukan kerjasama antara MAINJ, JAINJ, PBT dan Plan Malaysia Negeri Johor.

“Kerajaan Negeri melalui MAINJ dan JAINJ kini melaksanakan Pelan Induk Perkuburan Islam Negeri Johor melibatkan kajian kapasiti dan unjuran 10 hingga 15 tahun juga menilai kapasiti tanah perkuburan sedia ada bagi setiap daerah serta menyediakan unjuran keperluan baharu mengikut pertumbuhan penduduk dan kadar kematian,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN