Sambal Syilis tembusi pasaran Arab Saudi, bukti keupayaan usahawan Perak - Utusan Malaysia

Sambal Syilis tembusi pasaran Arab Saudi, bukti keupayaan usahawan Perak

SALBIAH Mohamed (tengah) melancarkan pelepasan kontena produk sambal dan pes masakan Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. ke Arab Saudi di Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Produk negeri ini menembusi pasaran antarabangsa apabila Sambal Syilis keluaran Syilis Manufacturing Sdn. Bhd., dihantar buat kali ketiga ke Arab Saudi menerusi permintaan khas daripada syarikat penerbangan Saudi Airlines.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pencapaian ini merupakan  kejayaan besar buat usahawan negeri tersebut.

“Ini bukti bahawa produk usahawan Perak mampu menembusi pasaran global.

“Syilis Manufacturing ialah contoh bagaimana usahawan kita bangkit dan berkembang hasil sokongan bersepadu pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada majlis pelepasan kontena penghantaran produk tersebut di sini hari ini.

Menurutnya, antara agensi yang membantu kejayaan tersebut termasuk SME Bank, MATRADE, FAMA, dan Jabatan Pertanian, yang sentiasa komited membimbing usahawan dalam aspek pemasaran, pembungkusan serta pematuhan standard eksport.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui kerjasama dengan agensi Persekutuan giat melaksanakan program seperti Export Day, Gate to Global, dan penyertaan dalam ekspo antarabangsa termasuk Fine Food New Zealand, Brunei Consumer Fair, dan World Expo Osaka 2025.

“Tahun ini, kita sasarkan sekurang-kurangnya 20 usahawan berpotensi dibawa ke luar negara. Bukan sahaja menyertai ekspo, malah berjaya memperoleh urus niaga eksport,” katanya.

Beliau berkata, peranan digitalisasi penting dalam memacu kebolehpasaran produk, khususnya menerusi kempen media sosial serta latihan usahawan digital yang dianjurkan kerajaan negeri.

“Ramai usahawan kini menjadi influencer produk mereka sendiri. Ini trend yang sihat dan menunjukkan keberanian serta adaptasi pantas dalam dunia keusahawanan digital.

”Kejayaan Syilis dilihat sebagai petunjuk kukuh bahawa produk tempatan mampu berdiri setanding di peringkat global, selagi usahawan diberi bimbingan dan sokongan yang berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN