KUALA TERENGGANU: Kegiatan menuba ikan memusnahkan sumber sungai seperti ikan dan udang gajah sekali gus mengganggu rantaian makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri memandang serius kegiatan menuba ikan yang semakin banyak berlaku di kawasan sungai di Terengganu.
Katanya, kegiatan itu dilihat serius di beberapa lokasi kerana ia berulang seperti di Sungai Nerus, di sini
“Apabila tiba musim udang galah , aktiviti tersebut berlaku. Kita akui sukar untuk mengenal pasti individu yang melakukan aktiviti haram tersebut namun berharap penduduk tempatan dapat menyalurkan maklumat dan peka dengan situasi tersebut,” katanya selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Azman berkata, kerajaan negeri melepaskan 800,000 hingga sejuta anak ikan ke sungai bagi memperkaya sumber sungai.
Bagaimanapun, katanya, jika perbuatan segelintir penduduk tidak seiring dengan usaha yang dilaksanakan kerajaan, situasi itu sangat mengecewakan.
“Menuba ikan bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi merosakkan ekosistem sungai dan menyebabkan kepupusan spesies ikan dan mengganggu rantaian makanan. Secara tidak langsung ia turut menjejaskan hasil nelayan sungai yang bergantung kepada sumber air tawar,” katanya. – UTUSAN










